Warith Deen Muhammad


PADA sembilan Ramadan tahun lalu, bersamaan 9 September, rakyat Amerika Syarikat yang beragama Islam terutama masyarakat kulit hitam kehilangan seorang tokoh paling berpengaruh dalam penyebaran ajaran Islam, Imam Warith Deen Mohammed, 74.

Imam Mohammed menggantikan bapanya, Elijah Muhammad sebagai pemimpin Nation of Islam tapi menolak ajaran yang hanya mementingkan keagungan masyarakat kulit hitam.

Selepas melalui pelbagai dugaan dan cabaran, akhirnya Imam Mohammed berjaya mengubah pemahaman yang berteraskan ideologi pemisahan berdasarkan kaum kepada ajaran Islam sebenar.

Beliau adalah anak ketujuh kepada Elijah Muhammad, yang mengetuai Nation of Islam, dari 1935 hingga 1975.

Nation of Islam, pertubuhan yang mengamalkan satu bentuk nasionalisme kulit hitam, pada mulanya diasaskan oleh seorang aktivis kulit hitam, Wallace Fard Muhammad pada 1930, sebelum diambil alih oleh Elijah.

Imam Mohammed dilahirkan di Michigan pada 1933 dengan nama Wallace Deen Mohammed bagi mengambil sempena nama pengasas Nation of Islam itu dan sejak kecil lagi, beliau adalah anak yang paling disukai Elijah.

Beliau dimasukkan ke sekolah Nation of Islam di selatan Chicago dan belajar bahasa Arab bagi memudahkannya membaca al-Quran memandangkan bahasa Arab adalah bahasa al-Quran.

Sejak zaman remajanya lagi, Imam Mohammed dilihat sebagai calon paling sesuai bagi menggantikan bapanya untuk meneruskan perjuangan Nation of Islam.

Namun lama kelamaan Wallace mampu melihat antara ajaran agama yang sebenar dan yang berteraskan kepentingan warna kulit semata-mata. Beliau sudah mula meragui perjuangan yang dibawa oleh bapanya dalam pertubuhan berkenaan.

Pada 1961 beliau dimasukkan ke penjara persekutuan Minnesota selama 14 bulan kerana enggan menyertai tentera, dengan alasan beliau tidak mahu berjuang bagi sebuah negara yang mengamalkan dasar perkauman dan pemisahan di kalangan warga kulit hitam.

Ketika dalam penjara inilah pandangannya terhadap agama Islam diperkukuhkan lagi berbanding pandangan bapanya mengenai keagungan masyarakat kulit hitam dan keupayaan mereka menjaga diri mereka sendiri. Ketika dalam penjara jugalah beliau mendalami pembelajaran al-Quran.

Pada pandangan Wallace, ajaran yang dibawa bapanya menyalahi ajaran Islam sebenarnya. Walaupun aspirasi Nation of Islam pada asasnya bertujuan murni, ia kemudian berubah menjadi tercemar dan kadangkala seolah-olah menghina Tuhan dengan konsep perjuangannya yang sempit.

Akibatnya hubungan di antara bapa dengan anak menjadi semakin renggang. Beliau disingkir daripada pertubuhan berkenaan, diterima semula, disingkir lagi dan beberapa kali dibuang oleh keluarganya sendiri.

Wallace Mohammed juga pernah terpaksa bekerja sebagai pengimpal, pembuat roti, pencuci karpet dan tukang cat bagi menyara kehidupannya.

Beliau kemudian merapatkan dirinya dengan Malcolm X, seorang lagi pengikut Nation of Islam yang meragui perjuangan pertubuhan itu, sehingga Malcolm dibunuh pada 1965.

Pada 1974 Wallace kembali semula ke pangkuan Nation of Islam dan kekal sehingga ke akhir hayatnya. Bapanya, Elijah meninggal dunia setahun kemudian dan Wallace diangkat sebagai imam agungnya atau ‘Supreme Minister’. Ketika inilah berlakunya perubahan.

Sebarang doktrin yang mengagungkan masyarakat kulit hitam yang bercanggah dengan ajaran sebenar Islam disisihkan, begitu juga dengan anggapan anggota pertubuhan itu mengenai sifat ketuhanan yang ada pada diri Wallace Fard, pengasas Nation of Islam.

“Dia bukan Tuhan, saya tahu dia bukan Tuhan,” kata pemimpin baru itu beberapa tahun kemudian, begitu juga “Elijah Muhammad (bapanya sendiri) bukan Nabi”.

Beliau mulai menggalakkan masyarakat kulit hitam di Amerika supaya mengikuti kelas bahasa Arab, menunaikan solat lima waktu sehari, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan ibadat Haji di Makkah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Pada 1976, Wallace mengumumkan bahawa beliau hanya ingin dipanggil dengan gelaran imam saja dan tidak lagi ‘Supreme Minister’.

Pada 1977, beliau menukarkan nama Nation of Islam kepada ‘World Community of al-Islam in the west’. Kini pertubuhan itu dikenali sebagai ‘American Socitey of Islam’.

Seorang lagi aktivis Nation of Islam, Louis Farrakhan yang enggan berubah mengikut Imam Mohammed, mengambil langkah menghidupkan semula pertubuhan Nation of Islam yang lama dan meneruskan dasar antiSemitik dan antikulit putih.

Imam Mohammed mara terus ke depan dengan membawa masyrakat Islam Amerika ke dalam kelompok arus perdana Islam global dan jumlah pengikutnya bertambah daripada ratusan ribu kepada melebihi dua juta orang, termasuk peninju terkenal dunia, Muhammad Ali.

Beliau juga berjaya menyatukan masyarakat Muslim Afrika-Amerika dengan masyarakat Islam imigran Amerika. Beliau kemudian dikenali di peringkat global dan pernah menemui Pope John Paul II beberapa kali serta mengambil bahagian dalam perjumpaan antara agama dengan golongan Katolik dan Yahudi.

Jasa dan pengorbanan Imam Mohammed kini dinikmati dengan secara meluas oleh kira-kira lebih enam juta rakyat Amerika yang beragama Islam.

Mereka bebas mengamalkan ajaran Islam di beberapa ribu pusat Islam kecil dan besar serta masjid tanpa mempunyai perbezaan pendapat atau fahaman nasionalisme yang sempit. Semoga Allah SWT merahmati rohnya dan memberkati perjuangannya menegakkan agama Islam di bumi Amerika.

Nota: Warith Deen Muhammad dilahirkan pada 30 Oktober 1933 dan meninggal dunia pada 9 September 2008.. Beliau merupakan anak kepada Eljah Muhammad. ketua Nation Of Islam (NOI) dari tahun 1933 hingga 1975.. Beliau bertanggungjawab membawa perubahan yang besar pada gerakan NOI ke arah Islam Sunni..

Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Allahyarham.. Al-Fatihah

0 comments:

Followers

Ruang Komen