Cerpen RM 1

Mentari mula memancarkan sinarnya, kedinginan embun pagi mula tidak terasa. Kelihatan kereta keluar masuk dari kawasan perumahan menandakan penghuninya bertebaran di muka bumi untuk mencari rezeki kurnian Illahi. Majid yang sedari tadi menunggu di luar rumah mula merungut "cepatlah sikit Isha, dah lewat ni,"Majid mengomel melihat anaknya Isha masih lagi belum bersiap untuk ke sekolah. Terkocoh-kocoh Isha memakai stokin selepas di tegur ayahnya.

"Dah siap, jom," kata Isha mula melangkah ke perut kereta. Deruman enjin Proton Inspira mula kedengaran. Sayup-sayup deruman enjin itu hilang dalam hembusan sang bayu pagi.

"Tengahari nanti ayah ambik tau. Tunggu di tempat biasa,"kata Majid sejurus tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Terapung yang tersergam indah tu.
"Ok,"jawab anaknya ringkas. Majid memerhatikan anaknya masuk ke kawasan sekolah terlebih dahulu sebelum berlalu ke tempat kerjanya di bandar.

--------------

Loceng mula berbunyi menandakan tamatnya waktu persekolahan. Perlahan-lahan pelajar sekolah itu keluar dari kelas menuju ke pagar sekolah. Ibu bapa kelihatannya sedang menunggu. Ada yang menaiki motor, ada yang menaiki kereta. Tidak kelihatan pula yang menaiki helikopter. Mungkin sekolah itu tidak sesuai agaknya untuk menjadi tempat pendaratan helikopter.

Majid menunggu Isha di tempat biasa. Seketika kemudian, anakmya masuk ke perut kereta.

"Assalamualaikum," kata Isha sejurus sebelum pintu ditutup.
"Waalaikumsalam," jawab Majid. kereta dipecut meninggalkan kawasan sekolah. Irama lagu Ana Raffali kedengaran di corong speaker. Kedua-duanya hanya diam membisu tanpa sepatah kata.

"Ayah, tadikan masa di kelas, kitorang belajar Yahudi. Lepas tu, cikgu tunjuk slide simbol-simbol Yahudi. Rupanya kan ayah, di duit RM 1 kita pun ada simbol Yahudi, apa nama organisasi tu, Illuminati. Haa Illuminati," kata Isha memecah kesunyian. Terbeliak mata Majid mendengar kata-kata Isha lantas brek ditekan mengejut. Daya inertia yang terhasil cukup untuk menghumban penumpang ke depan. Nasib baik tak ada kereta lain di depan. Kalau tidak, jenuh pulaklah Majid nak bayar formen.

"Opocot mak kau!" hampir-hampir dirinya terhumban ke depan. Nasib baik ada seat belt.
"Isha pasti ke ni? Jangan main tuduh je Isha! Ayah paling pantang dengar benda-benda macam ni. Bukannya kamu tak tahu, benda-benda macam ni lah yang ayah concern. Kat mana ada simbol tu?" berapi mata Majid mendengar kata-kata anaknya. Kalau nak diikutkan hati, nak dilanyak je binatang Yahudi ni.

"Alah ayah ni. Nanti di rumahlah Isha tunjuk. Kita balik la dulu, Isha lapar ni," kata Isha cuba memujuk ayahnya. Ditenung muka ayahnya yang merah padam itu.
"Ish, yalah. Balik nanti tunjuk kat ayah,"jawab Majid. Kereta mula bergerak laju menuju ke rumah.

--------------

"Assalamualaikum," Isha memberi salam sambil mengetuk pintu perlahan.
Dam! Dam! Dam! Majid menumbuk pintu rumahnya. Terasa nak runtuh je pintu rumah teresnya itu. Isha yang berada di samping Majid terkejut dengan tindakan ayahnya.
"Cepatlah bukak pintu ni!" agak tinggi suara Majid.
"Ya, ya. Kejap kejap," jawab isterinya Fida dari dalam rumah. Perlahan-lahan pintu dibuka.
"Awak buat apa dalam tu lama sangat?" tanya Majid dengan muka yang merah padam.
"Eh awak ni, saya tengah buat kerja di dapur lah. Yang awak marah-marah ni kenapa?" ngomel Fida. Pelik dengan kelakuan suaminya. Selalunya tak macam ni. Alih-alih hari ni pulak mood tak berapa nak baik.
"Kejap lagi awak tahulah," jawab Majid ringkas sebelum masuk ke bilik tidurnya. Isha dan Fida diam tak terkata.
"Kenapa ayah kamu tu, Isha?" tanya Fida kehairanan.
"Entah tiba-tiba je ayah jadi incredible hulk bila Isha bagitahu dia pasal Yahudi tadi. Tadi cikgu ada tunjuk slide pasal Yahudi. Lepas tu ada lah slide tunjuk simbol Illuminati di duit kertas RM 1 kita. Tu yang ayah marah sangat tu," jelas Isha ringkas. Ibunya hanya menggeleng-gelengkan kepala.

"Apa nak jadi lah dengan ayah kamu ni. Dulu pun dia pernah buat macam ni, masa heboh ada simbol Yahudi dalam komputer. Punya la semangat dia pergi kumpul orang kampung persi serang kedai komputer tu. Alih-alih malu sendiri. Padan muka pergi serang tak kira hari. Ada ke pergi hari Ahad, mana la kedai nak bukak. Masa tu kamu tak ada kat sini, kamu di kampung," jelas Fida panjang lebar.

"Hah! Ya ke mak? Kenapa mak tak pernah cerita pun kat Isha?" tanya Isha agak terkilan kerana baru hari ni dia mengetahuinya.

"Shhh, mak tak bagitahu kamu sebab ayah kamu larang mak. Katanya malu kalau anak tahu," kata Fida separuh berbisik. Isha hanya tersenyum sinis mendengar kata-kata ibunya.

Seketika kemudian Majid mula memunculkan dirinya di ruang tamu. Dia membuka dompetnya dan mengeluarkan wang kertas RM 1.

"Isha tunjuk kat ayah di mana lambang Illuminati tu. Ayah nak tengok dengan mata kepala ayah sendiri,"  kata Majid tegas. Perlahan-lahan Isha bangun dan mengambil wang kertas itu dari ayahnya.

"Yang ni satu. Lambang bank negara ni. Yang macam kijang ni. Kita nampak macam kijang, sebenarnya kijang ekor dia pendek. Lebih tepat lagi lambang ni sebenarnya anjing. Kalau tengok slide di kelas tadi, dia kata lambang ni lambang anjing Firaun. Anjing Firaun pulak sinonim dengan Tuhan Anubis dan menjadi identiti Illuminati," jelas Isha sambil menunjukkan lambang bank negara di wang kertas tersebut. "Haa, satu lagi ni, kalau kita tengok di gambar YDP Agung ni menghadap lampu ke, matahari ke, kita akan nampak sebelah mata YDP Agung ni ada di atas segi tiga. All-seing eye la katanya," sambungnya lagi. Majid hanya mengangguk-angguk tidak berkata apa.

"Ok, bagus. Ayah nak pergi balai raya kejap. Nak kumpulkan seberapa ramai orang untuk hantar memorandum pada pihak bank," kata Majid bersiap untuk ke balai raya.

"Awak ni kan, kalau tak terburu-buru boleh tak? Kalut sangat ni apa pasal? Cuba awak fikir balik apa yang awak nak buat ni. Awak tak rasa ke tindakan awak ni agak kebudak-budakan ke? Walaupun saya ni belajar setakat SRP je, saya boleh fikir dengan logik tahu tak. Cuba awak fikir, awak nak buat apa lepas awak hantar memorandum ke pihak bank? Awak ingat mereka nak baca ke memorandum awak tu? Entah-entah belum sampai lagi ke tangan Zeti Aziz tu, memorandum awak dah kena koyak. Lagi satu, kalau betul lah Illuminati apa kebenda tu ada dalam duit kita, awak nak buat apa? Awak nak bakar duit tu? Habis tu awak nak makan apa? Nak makan pasir? Saya tak kisah, awak lah masalahnya. Ke awak nak tambah ibadat dengan puasa seumur hidup semata-mata tak nak guna duit Illuminati awak tu? Fikir logik la sikit. Dunia ni kalau tak ada duit, alamat tak berasap la dapur kita. Lagi pulak.... "

"Diam!" bentak Majid. Isha yang sedari tadi menjadi pemerhati terkejut dengan tindakan ayahnya. Dia mengurut dada perlahan.

"Apa yang aku buat ni, untuk Islam. Aku nak perjuangkan Islam. Israel Yahudi tu musuh Islam. Yang kau nak sokong Yahudi ni kenapa? Kau hidup di dunia ni dengan makanan Yahudi ke?!" tanya majid dengan nada suara yang agak tinggi. Merah menyala matanya.


"Saya bukannya nak sokong Yahudi. Tapi saya berpijak di bumi yang nyata. Nak makan kena ada duit, bukannya guna daun. Nak boikot duit semata-mata sebab ada simbol Yahudi, awak nak makan apa?" tanya Fida dengan nada bersahaja.

"Ah kau diamlah. Perempuan apa tahu. Nanti aku cari alternatif untuk makan. Rezeki Allah bagi bukan Yahudi laknat tu yang bagi. Sudahlah, aku nak pergi balai raya," kata Majid sambil berlalu keluar dari rumah.
Fida dan Isha hanya mampu melihat. Tidak mampu lagi untuk berkata apa.

"Ayah kamu ni Isha, betul-betul menakutkan mak," keluh Fida. Nada suaranya mencerun.
"Tak apa lah mak. Biar la dia uruskan hal dia sendiri. Ok lah mak, Isha nak pergi mandi, nak siapkan kerja sekolah kejap," kata Isha sebelum bangkit menuju ke biliknya. Fida hanya mengangguk.

-----------------

Kira-kira 90 orang berkumpul di balai raya. Kelihatannya Majid sedang berucap sambil tangannya tidak henti-henti menunjukkan wang kertas RM 1 kepada orang ramai. Yang datang tu pula rata-ratanya anak muda dan hanya sedikit orang tua yang hadir.

"Diharapkan dengan apa yang saya terangkan sebentar tadi dapat memberi kesedaran kepada kita betapa halusnya jarum Yahudi Israel. Kita wajib bangkit dan menentang. Biarlah apa orang nak kata, kita cuba yang terbaik untuk agama kita. Memorandum sudah di print, tinggal nak kena hantar je. Siapa ada cadangan bagaimana kita nak hantar memo ni?" tanya Majid bersemangat.

"Kita hantar guna pos je lah, senang sikit kerja kita. Tak payah nak buang duit pergi KL. Dah la jauh, tambang pun mahal," kata seorang anak muda dalam usia 20-an. Hadirin yang lain kelihatan bingung dan memandang sesama mereka.

"Emm, ok jugak tu. Kalau semua setuju, kita pos je lah. Allah bukannya nak tengok hasil, Allah nak tengok usaha kita," kata Majid. Semua hadirin mengangguk-anggukkan kepala.

"Kalau macam tu, kejap lagi saya pos. Mohon doa semua hadirin lah semoga usaha kita ni berhasil," kata Majid.

"Amiinnn!!" hadirin mendoakan kejayaan Majid.Hadirin mula bersurai bila melihat Majid sedang bersiap untuk ke pejabat pos di pusat bandar.

-----------

Posmen mula mengumpulkan surat yang dihantar ke dalam guni. Tanpa disedari surat yang dialamatkan kepada Gabenor Bank Negara tercicir. Posmen yang bertugas berlalu meninggalkan pejabat pos. Surat itu kemudiannya diterbangkan angin lalu dan hilang dari pandangan.

7 comments:

Unknown February 19, 2011 at 6:53 PM  

smbungannya......nk bca..

Ninja Jepang February 19, 2011 at 11:01 PM  

Tak ada sambungan :-)

Unknown February 21, 2011 at 1:50 PM  

emmm....trgntung...msti kne ada smbungn

Ninja Jepang February 24, 2011 at 1:20 AM  

Cerpen ni hanya cerpen sarkastik. Tidak ada sambungan. :-)

ataillazain March 7, 2011 at 8:14 PM  

sila buat sambungan cerpen ni. menarik! :)

Ninja Jepang March 8, 2011 at 12:31 AM  

Terima kasih atillazain. :)
Apapun, cerpen ini hanyalah cerpen sarkastik. Ia tidak ada sambungan. :)

Unknown March 25, 2016 at 6:22 PM  

Terbaik! 😂

Followers

Ruang Komen