Keliru

Amat menggusarkan bila ada manusia yang menganggap dirinya sebagai 'pejuang' lalu menyempitkan makna perjuangan itu sendiri. Perjuangan menurutnya hanya sekadar 'turun berdemonstrasi', 'boikot' dan sebagainya. Tak dinafikan semua itu termasuk dalam lingkungan perjuangan tetapi untuk menyempitkan perjuangan semata-mata hanya semua itu merupakan satu kesilapan.

Definisi perjuangan merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat ialah perihal berjuang utk merebut (mencapai, mempertahankan) sesuatu. Walaupun ada lagi makna perjuangan yang lain, saya kecilkan skopnya supaya target artikel ini dibuat tercapai. 

Perjuangan untuk mencapai sesuatu. Apa yang dapat difahami dari kalam ini? Berdemonstrasi di hadapan kedutaan Mesir dengan harapan dapat memberikan sedikit tekanan kepada kerajaan Mesir? Ya, ia satu perjuangan. Memboikot barangan Israel dengan harapan dapat mengurangkan keuntungan ekonomi entiti haram Israel? Ia juga satu perjuangan. Namun, skop perjuangan bukanlah hanya semata-mata kerana dua perkara itu. Skop perjuangan itu luas. Menulis blog berunsurkan ketuhanan dengan harapan pembaca akan mendapat sesuatu dari tulisan kita juga satu perjuangan. Meneruskan pembelajaran di sekolah, kolej hatta universiti sekalipun termasuk juga dalam erti perjuangan. Sebagai contoh, jika kita belajar bersungguh-sungguh di kolej/universiti dengan harapan dapat membantu umat Islam pada masa akan datang, adakah itu juga termasuk dalam erti perjuangan? Bagi saya, ya. Lantas, kenapa masih ada pihak yang masih lagi menyempitkan makna perjuangan dengan hawa nafsu sendiri?

Berdemonstrasi ialah salah satu contoh perjuangan dan bukannya maksud perjuangan. Apabila ada pihak yang seolah-olah me'wajib'kan demonstrasi atas alasan ianya bermaksud perjuangan, saya berani katakan yang pihak sebegini sebenarnya terkeliru dengan maksud perjuangan. Rujuk balik maksud perjuangan. Pendek kata, apa sahaja usaha yang baik demi mencapai sesuatu, itulah perjuangan, bukannya dengan membataskan perjuangan hanya sekadar demonstrasi dan boikot!

Tidak perlulah kita yang turun setiap kali ada demonstrasi ni untuk melabel orang itu ini sebagai bukan pejuang hanya kerana mereka tidak turun berdemonstrasi. Boleh jadi mereka sibuk? Boleh jadi mereka ada urusan yang jauh lebih penting dari demonstrasi? Boleh jadi mereka sakit? Terlampau banyak kemungkinan yang boleh diandaikan. Malangnya kita lebih menjurus ke arah yang negatif lalu akan adalah tuduhan negatif yang dilemparkan kepada pihak yang tidak turun berdemonstrasi seperti malas, penakut dan sebagainya. Dalam mana-mana gerakan Islam pun, pasti ada pengikut bawahan yang lebih sudu dari kuah. Saya tekankan perkataan pengikut.

Memboikot barangan Israel satu lagi contoh perjuangan dan sama sekali ia tidak melambangkan maksud perjuangan. Saya menyokong mana-mana pihak yang memboikot barangan Israel. Cuma satu yang saya tidak suka ialah bila ada pihak yang menuduh golongan yang tidak memboikot kononnya menjadi pemyokong Israel. Kalau nak boikot, boikot, tak nak boikot, sudah. Tidak perlu membuat provokasi melampau yang boleh mendatangkan kemarahan orang lain.

Akhir kalam, sebelum bersuara hendaklah kita menilai dan menyemak kembali diri kita sama ada kita benar-benar berjuang di atas erti perjuangan atau berjuang di atas erti perjuangan mengikut acuan perut sendiri.


0 comments:

Followers

Ruang Komen