Untuk Apa Salahkan Dunia?

Pernah ada seorang kawan masa muda-muda dulu mengadu pada saya betapa dia stress dek keputusan peperiksaannya tidak sehebat orang lain. Katanya dia stress, sedih, kecewa betapa dia mengharapkan keputusan yang memuaskan setelah berusaha semampunya. Apakan daya, keputusannya hanya cukup-cukup makan. Dia malah menyalahkan dunia ni seolah-olah tidak berlaku adil dengannya. Saya ketika itu masih lagi tidak mampu berfikir hanya bersetuju dengannya. Ya, saya bersama-samanya menyalahkan dunia ni!

Tapi itu cerita beberapa tahun lepas. Sekarang kalau ada mana-mana insan yang mengadu perihal tekanan perasaan kerana gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, malah menyalahkan dunia pula, ini jawapan saya:

Untuk apa menyalahkan dunia? Apakah dunia ini benda hidup yang berhak dipersalahkan atas kesilapan kita sendiri? Ataupun kita hanya menjadikannya sebagai kambing hitam semata hanya kerana kita tidak mampu menerima apa yang kita peroleh? Begitulah kita, apabila kita berjaya, kita katakan ianya dari usaha kita sendiri, pabila kita gagal, kita katakan dunia ini tidak adil. Self serving bias namanya. Nampak tak betapa kita tidak adil dalam menilai.

Lulus cemerlang = usaha aku
Gagal = dunia tak adil


Tahu tak kenapa Tuhan ciptakan mata di depan? Supaya kita melihat ke depan dan tidak boleh melihat ke belakang (tanpa berpaling). Berhentilah menyalahkan dunia, kerana dunia ini sudah tua dan tidak lama lagi akan mati.
Maaf, aku membebel lagi pagi-pagi buta ni.

Frasa 'Baik'

Mari kita berhikayat sejenak. Mari kita fikirkan satu frasa iaitu frasa 'baik'. Apakah definisi 'baik'? Siapakah pula orang 'baik'? Semua ini satu persoalan minda yang wajar dijawab. 'Baik' itu subjektif. Benarkah? Atau aku yang mengelamun sendiri?

Ada insan yang kata definisi 'baik' ialah insan-insan yang bertudung labuh bagi sang puteri dan berkopiah bagi sang putera. Benarkah begitu? Kalau ini definisi yang diguna pakai, nampaknya saya ialah orang yang jahat. Betul kan? Bukan sahaja saya, malah orang-orang yang tidak memakai kopiah juga digelar jahat. Itu kalau mengikut definisi 'baik' yang begini lah.

Ada juga insan yang kata 'baik' itu dinilai daripada sifatnya yang suka berbuat baik dengan orang lain. Sampai tahap ini, aku masih boleh terima. Tapi bolehkah golongan yang punya definisi sendiri itu menerima definisi sebgini? Bolehkah mereka menerima insan yang suka berbuat baik dengan orang lain tetapi tidak berbuat baik dengan Tuhan? Satu lagi persoalan timbul. Bolehkah? Itu persoalannya. Boleh jadi mereka tidak menerima. Boleh jadi mereka terima tetapi dengan syarat mereka akan ke neraka. Atau boleh juga mereka menerima dengan hati yang terbuka.

Kita tinggalkan persoalan itu seketika. Kita ke definisi seterusnya.

Ada insan yang kata 'baik' itu dinilai daripada campuran definisi pertama dan definisi kedua. Persamaannya begini:

Berkopiah/Bertudung labuh + Berbuat baik dengan orang lain = Baik.

Benarkah begitu? Timbul lagi persoalan lain. Berkopiah/bertudung labuh tetapi perangai mengalahkan Hosni Mubarak dan Suzanne Mubarak. Bolehkah digelar 'baik'? Aku tidak punya jawapan untuk itu. Mungkin golongan yang berdefinisi kedua punya jawapan. Boleh jadi mereka terima. Boleh jadi mereka tidak menerima. Boleh jadi mereka terima dengan syarat. Aku makin pening.

Ah sudah. Yang mana betul. Kalau aku pilih definisi pertama, mungkin aku bakal dilabel oleh golongan berdefinisi kedua. Kalau aku pilih definisi kedua, mungkin aku bakal dilabel sebagai ahli neraka oleh golongan berdefinisi pertama. Kalau aku pilih definisi ketiga, mungkin aku boleh dikatakan baik tapi tidak cukup syarat. Ah aku makin pening.

Justeru, definisi yang mana harus aku terima? Pertama? Kedua? Ketiga? Atau tidak ada definisi khusus untuk frasa 'baik'? Mungkin benar ia bersifat subjektif?

Entah aku pun tak tahu.

Cerpen RM 1

Mentari mula memancarkan sinarnya, kedinginan embun pagi mula tidak terasa. Kelihatan kereta keluar masuk dari kawasan perumahan menandakan penghuninya bertebaran di muka bumi untuk mencari rezeki kurnian Illahi. Majid yang sedari tadi menunggu di luar rumah mula merungut "cepatlah sikit Isha, dah lewat ni,"Majid mengomel melihat anaknya Isha masih lagi belum bersiap untuk ke sekolah. Terkocoh-kocoh Isha memakai stokin selepas di tegur ayahnya.

"Dah siap, jom," kata Isha mula melangkah ke perut kereta. Deruman enjin Proton Inspira mula kedengaran. Sayup-sayup deruman enjin itu hilang dalam hembusan sang bayu pagi.

"Tengahari nanti ayah ambik tau. Tunggu di tempat biasa,"kata Majid sejurus tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Terapung yang tersergam indah tu.
"Ok,"jawab anaknya ringkas. Majid memerhatikan anaknya masuk ke kawasan sekolah terlebih dahulu sebelum berlalu ke tempat kerjanya di bandar.

--------------

Loceng mula berbunyi menandakan tamatnya waktu persekolahan. Perlahan-lahan pelajar sekolah itu keluar dari kelas menuju ke pagar sekolah. Ibu bapa kelihatannya sedang menunggu. Ada yang menaiki motor, ada yang menaiki kereta. Tidak kelihatan pula yang menaiki helikopter. Mungkin sekolah itu tidak sesuai agaknya untuk menjadi tempat pendaratan helikopter.

Majid menunggu Isha di tempat biasa. Seketika kemudian, anakmya masuk ke perut kereta.

"Assalamualaikum," kata Isha sejurus sebelum pintu ditutup.
"Waalaikumsalam," jawab Majid. kereta dipecut meninggalkan kawasan sekolah. Irama lagu Ana Raffali kedengaran di corong speaker. Kedua-duanya hanya diam membisu tanpa sepatah kata.

"Ayah, tadikan masa di kelas, kitorang belajar Yahudi. Lepas tu, cikgu tunjuk slide simbol-simbol Yahudi. Rupanya kan ayah, di duit RM 1 kita pun ada simbol Yahudi, apa nama organisasi tu, Illuminati. Haa Illuminati," kata Isha memecah kesunyian. Terbeliak mata Majid mendengar kata-kata Isha lantas brek ditekan mengejut. Daya inertia yang terhasil cukup untuk menghumban penumpang ke depan. Nasib baik tak ada kereta lain di depan. Kalau tidak, jenuh pulaklah Majid nak bayar formen.

"Opocot mak kau!" hampir-hampir dirinya terhumban ke depan. Nasib baik ada seat belt.
"Isha pasti ke ni? Jangan main tuduh je Isha! Ayah paling pantang dengar benda-benda macam ni. Bukannya kamu tak tahu, benda-benda macam ni lah yang ayah concern. Kat mana ada simbol tu?" berapi mata Majid mendengar kata-kata anaknya. Kalau nak diikutkan hati, nak dilanyak je binatang Yahudi ni.

"Alah ayah ni. Nanti di rumahlah Isha tunjuk. Kita balik la dulu, Isha lapar ni," kata Isha cuba memujuk ayahnya. Ditenung muka ayahnya yang merah padam itu.
"Ish, yalah. Balik nanti tunjuk kat ayah,"jawab Majid. Kereta mula bergerak laju menuju ke rumah.

--------------

"Assalamualaikum," Isha memberi salam sambil mengetuk pintu perlahan.
Dam! Dam! Dam! Majid menumbuk pintu rumahnya. Terasa nak runtuh je pintu rumah teresnya itu. Isha yang berada di samping Majid terkejut dengan tindakan ayahnya.
"Cepatlah bukak pintu ni!" agak tinggi suara Majid.
"Ya, ya. Kejap kejap," jawab isterinya Fida dari dalam rumah. Perlahan-lahan pintu dibuka.
"Awak buat apa dalam tu lama sangat?" tanya Majid dengan muka yang merah padam.
"Eh awak ni, saya tengah buat kerja di dapur lah. Yang awak marah-marah ni kenapa?" ngomel Fida. Pelik dengan kelakuan suaminya. Selalunya tak macam ni. Alih-alih hari ni pulak mood tak berapa nak baik.
"Kejap lagi awak tahulah," jawab Majid ringkas sebelum masuk ke bilik tidurnya. Isha dan Fida diam tak terkata.
"Kenapa ayah kamu tu, Isha?" tanya Fida kehairanan.
"Entah tiba-tiba je ayah jadi incredible hulk bila Isha bagitahu dia pasal Yahudi tadi. Tadi cikgu ada tunjuk slide pasal Yahudi. Lepas tu ada lah slide tunjuk simbol Illuminati di duit kertas RM 1 kita. Tu yang ayah marah sangat tu," jelas Isha ringkas. Ibunya hanya menggeleng-gelengkan kepala.

"Apa nak jadi lah dengan ayah kamu ni. Dulu pun dia pernah buat macam ni, masa heboh ada simbol Yahudi dalam komputer. Punya la semangat dia pergi kumpul orang kampung persi serang kedai komputer tu. Alih-alih malu sendiri. Padan muka pergi serang tak kira hari. Ada ke pergi hari Ahad, mana la kedai nak bukak. Masa tu kamu tak ada kat sini, kamu di kampung," jelas Fida panjang lebar.

"Hah! Ya ke mak? Kenapa mak tak pernah cerita pun kat Isha?" tanya Isha agak terkilan kerana baru hari ni dia mengetahuinya.

"Shhh, mak tak bagitahu kamu sebab ayah kamu larang mak. Katanya malu kalau anak tahu," kata Fida separuh berbisik. Isha hanya tersenyum sinis mendengar kata-kata ibunya.

Seketika kemudian Majid mula memunculkan dirinya di ruang tamu. Dia membuka dompetnya dan mengeluarkan wang kertas RM 1.

"Isha tunjuk kat ayah di mana lambang Illuminati tu. Ayah nak tengok dengan mata kepala ayah sendiri,"  kata Majid tegas. Perlahan-lahan Isha bangun dan mengambil wang kertas itu dari ayahnya.

"Yang ni satu. Lambang bank negara ni. Yang macam kijang ni. Kita nampak macam kijang, sebenarnya kijang ekor dia pendek. Lebih tepat lagi lambang ni sebenarnya anjing. Kalau tengok slide di kelas tadi, dia kata lambang ni lambang anjing Firaun. Anjing Firaun pulak sinonim dengan Tuhan Anubis dan menjadi identiti Illuminati," jelas Isha sambil menunjukkan lambang bank negara di wang kertas tersebut. "Haa, satu lagi ni, kalau kita tengok di gambar YDP Agung ni menghadap lampu ke, matahari ke, kita akan nampak sebelah mata YDP Agung ni ada di atas segi tiga. All-seing eye la katanya," sambungnya lagi. Majid hanya mengangguk-angguk tidak berkata apa.

"Ok, bagus. Ayah nak pergi balai raya kejap. Nak kumpulkan seberapa ramai orang untuk hantar memorandum pada pihak bank," kata Majid bersiap untuk ke balai raya.

"Awak ni kan, kalau tak terburu-buru boleh tak? Kalut sangat ni apa pasal? Cuba awak fikir balik apa yang awak nak buat ni. Awak tak rasa ke tindakan awak ni agak kebudak-budakan ke? Walaupun saya ni belajar setakat SRP je, saya boleh fikir dengan logik tahu tak. Cuba awak fikir, awak nak buat apa lepas awak hantar memorandum ke pihak bank? Awak ingat mereka nak baca ke memorandum awak tu? Entah-entah belum sampai lagi ke tangan Zeti Aziz tu, memorandum awak dah kena koyak. Lagi satu, kalau betul lah Illuminati apa kebenda tu ada dalam duit kita, awak nak buat apa? Awak nak bakar duit tu? Habis tu awak nak makan apa? Nak makan pasir? Saya tak kisah, awak lah masalahnya. Ke awak nak tambah ibadat dengan puasa seumur hidup semata-mata tak nak guna duit Illuminati awak tu? Fikir logik la sikit. Dunia ni kalau tak ada duit, alamat tak berasap la dapur kita. Lagi pulak.... "

"Diam!" bentak Majid. Isha yang sedari tadi menjadi pemerhati terkejut dengan tindakan ayahnya. Dia mengurut dada perlahan.

"Apa yang aku buat ni, untuk Islam. Aku nak perjuangkan Islam. Israel Yahudi tu musuh Islam. Yang kau nak sokong Yahudi ni kenapa? Kau hidup di dunia ni dengan makanan Yahudi ke?!" tanya majid dengan nada suara yang agak tinggi. Merah menyala matanya.


"Saya bukannya nak sokong Yahudi. Tapi saya berpijak di bumi yang nyata. Nak makan kena ada duit, bukannya guna daun. Nak boikot duit semata-mata sebab ada simbol Yahudi, awak nak makan apa?" tanya Fida dengan nada bersahaja.

"Ah kau diamlah. Perempuan apa tahu. Nanti aku cari alternatif untuk makan. Rezeki Allah bagi bukan Yahudi laknat tu yang bagi. Sudahlah, aku nak pergi balai raya," kata Majid sambil berlalu keluar dari rumah.
Fida dan Isha hanya mampu melihat. Tidak mampu lagi untuk berkata apa.

"Ayah kamu ni Isha, betul-betul menakutkan mak," keluh Fida. Nada suaranya mencerun.
"Tak apa lah mak. Biar la dia uruskan hal dia sendiri. Ok lah mak, Isha nak pergi mandi, nak siapkan kerja sekolah kejap," kata Isha sebelum bangkit menuju ke biliknya. Fida hanya mengangguk.

-----------------

Kira-kira 90 orang berkumpul di balai raya. Kelihatannya Majid sedang berucap sambil tangannya tidak henti-henti menunjukkan wang kertas RM 1 kepada orang ramai. Yang datang tu pula rata-ratanya anak muda dan hanya sedikit orang tua yang hadir.

"Diharapkan dengan apa yang saya terangkan sebentar tadi dapat memberi kesedaran kepada kita betapa halusnya jarum Yahudi Israel. Kita wajib bangkit dan menentang. Biarlah apa orang nak kata, kita cuba yang terbaik untuk agama kita. Memorandum sudah di print, tinggal nak kena hantar je. Siapa ada cadangan bagaimana kita nak hantar memo ni?" tanya Majid bersemangat.

"Kita hantar guna pos je lah, senang sikit kerja kita. Tak payah nak buang duit pergi KL. Dah la jauh, tambang pun mahal," kata seorang anak muda dalam usia 20-an. Hadirin yang lain kelihatan bingung dan memandang sesama mereka.

"Emm, ok jugak tu. Kalau semua setuju, kita pos je lah. Allah bukannya nak tengok hasil, Allah nak tengok usaha kita," kata Majid. Semua hadirin mengangguk-anggukkan kepala.

"Kalau macam tu, kejap lagi saya pos. Mohon doa semua hadirin lah semoga usaha kita ni berhasil," kata Majid.

"Amiinnn!!" hadirin mendoakan kejayaan Majid.Hadirin mula bersurai bila melihat Majid sedang bersiap untuk ke pejabat pos di pusat bandar.

-----------

Posmen mula mengumpulkan surat yang dihantar ke dalam guni. Tanpa disedari surat yang dialamatkan kepada Gabenor Bank Negara tercicir. Posmen yang bertugas berlalu meninggalkan pejabat pos. Surat itu kemudiannya diterbangkan angin lalu dan hilang dari pandangan.

Keliru

Amat menggusarkan bila ada manusia yang menganggap dirinya sebagai 'pejuang' lalu menyempitkan makna perjuangan itu sendiri. Perjuangan menurutnya hanya sekadar 'turun berdemonstrasi', 'boikot' dan sebagainya. Tak dinafikan semua itu termasuk dalam lingkungan perjuangan tetapi untuk menyempitkan perjuangan semata-mata hanya semua itu merupakan satu kesilapan.

Definisi perjuangan merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat ialah perihal berjuang utk merebut (mencapai, mempertahankan) sesuatu. Walaupun ada lagi makna perjuangan yang lain, saya kecilkan skopnya supaya target artikel ini dibuat tercapai. 

Perjuangan untuk mencapai sesuatu. Apa yang dapat difahami dari kalam ini? Berdemonstrasi di hadapan kedutaan Mesir dengan harapan dapat memberikan sedikit tekanan kepada kerajaan Mesir? Ya, ia satu perjuangan. Memboikot barangan Israel dengan harapan dapat mengurangkan keuntungan ekonomi entiti haram Israel? Ia juga satu perjuangan. Namun, skop perjuangan bukanlah hanya semata-mata kerana dua perkara itu. Skop perjuangan itu luas. Menulis blog berunsurkan ketuhanan dengan harapan pembaca akan mendapat sesuatu dari tulisan kita juga satu perjuangan. Meneruskan pembelajaran di sekolah, kolej hatta universiti sekalipun termasuk juga dalam erti perjuangan. Sebagai contoh, jika kita belajar bersungguh-sungguh di kolej/universiti dengan harapan dapat membantu umat Islam pada masa akan datang, adakah itu juga termasuk dalam erti perjuangan? Bagi saya, ya. Lantas, kenapa masih ada pihak yang masih lagi menyempitkan makna perjuangan dengan hawa nafsu sendiri?

Berdemonstrasi ialah salah satu contoh perjuangan dan bukannya maksud perjuangan. Apabila ada pihak yang seolah-olah me'wajib'kan demonstrasi atas alasan ianya bermaksud perjuangan, saya berani katakan yang pihak sebegini sebenarnya terkeliru dengan maksud perjuangan. Rujuk balik maksud perjuangan. Pendek kata, apa sahaja usaha yang baik demi mencapai sesuatu, itulah perjuangan, bukannya dengan membataskan perjuangan hanya sekadar demonstrasi dan boikot!

Tidak perlulah kita yang turun setiap kali ada demonstrasi ni untuk melabel orang itu ini sebagai bukan pejuang hanya kerana mereka tidak turun berdemonstrasi. Boleh jadi mereka sibuk? Boleh jadi mereka ada urusan yang jauh lebih penting dari demonstrasi? Boleh jadi mereka sakit? Terlampau banyak kemungkinan yang boleh diandaikan. Malangnya kita lebih menjurus ke arah yang negatif lalu akan adalah tuduhan negatif yang dilemparkan kepada pihak yang tidak turun berdemonstrasi seperti malas, penakut dan sebagainya. Dalam mana-mana gerakan Islam pun, pasti ada pengikut bawahan yang lebih sudu dari kuah. Saya tekankan perkataan pengikut.

Memboikot barangan Israel satu lagi contoh perjuangan dan sama sekali ia tidak melambangkan maksud perjuangan. Saya menyokong mana-mana pihak yang memboikot barangan Israel. Cuma satu yang saya tidak suka ialah bila ada pihak yang menuduh golongan yang tidak memboikot kononnya menjadi pemyokong Israel. Kalau nak boikot, boikot, tak nak boikot, sudah. Tidak perlu membuat provokasi melampau yang boleh mendatangkan kemarahan orang lain.

Akhir kalam, sebelum bersuara hendaklah kita menilai dan menyemak kembali diri kita sama ada kita benar-benar berjuang di atas erti perjuangan atau berjuang di atas erti perjuangan mengikut acuan perut sendiri.


Followers

Ruang Komen