Malcolm X @ El-hajj Malik El-Shabazz

Malcolm X @ El-Hajj Malik El-Shabazz merupakan antara dua tokoh pejuang kulit hitam Amerika, hidup sezaman dengan Martin Luther King. Beliau merupakan hero Muslim dan pejuang kepada pembentukan semula budaya dan sosial kepada Black Revolution (1960-an) di Amerika Syarikat. Beliau telah meninggalkan satu kata-kata yang mana frasa ini kini cukup terkenal iaitu “by any means necessary”. Bagi beliau, frasa ini bukanlah untuk menggalakkan atau menyemarakkan aksi kekejaman dan keganasan. Sebaliknya, “by any means necessary” bermaksud agar umat Islam dan masyarakat Negro Amerika ketika itu mengkaji halangan, menentukan visi, mencari penyelesaian konstruktif dan melaksanakan segala jalan keluar alternatif ke arah menghapuskan segala halangan yang menghadang kemajuan sosial, budaya dan agama.

Malcolm X telah menempa nama bersama kultus Nations of Islam. Namun setelah tidak bersetuju dengan aliran dan prinsip gerakan tersebut, beliau telah memutuskan hubungannya dengan Elijah Muhammad, ketua kultus berkenaan. Disebabkan oleh desakan kakandanya, beliau kemudiannya mengerjakan ibadah haji di Makkah. Dari Makkah beliau telah mengutus sepucuk surat kepada Alex Haley memperihalkan keadaaan dirinya di Tanah Suci tersebut. Surat tersebut menggambarkan simbolisme haji yang paling mendalam – daripada jiwa seorang yang diapi-apikan semangat perkauman kultus sesat sebelumnya, beliau telah berubah menjadi seorang pencinta kemanusiaan dengan dinyalai keimanan sejati.

Berikut merupakan isi kandungan surat tersebut yang amat bermanfaat dan boleh memberi tiupan semangat buat mereka yang mahu berfikir untuk lebih mencintai Islam:

Di sini apa yang aku tulis.. dari hatiku:

“Belum pernah aku saksikan keramahan dan ukhuwah sejati sebagaimana yang diamalkan oleh umat pelbagai warna kulit dan bangsa di sini, tanah suci, tempat Ibrahim, Muhammad dan anbiya anbiya lain. Sepanjang minggu yang lalu, aku tidak dapat berkata-kata dan kagum dengan keindahan yang ditunjukkan di sekelilingku oleh umat dari semua warna kulit.

Aku bertuah diberi peluang melawat Bandar Suci Mekah, aku sudah membuat tawaf sekeliling Kaabah, dipandu mutawaf muda bernama Muhammad, aku minum dari telaga Zam Zam. Aku sudah berlari-lari tujuh kali antara Safa dan Marwah. Aku sudah beribadah di bandaraya bersejarah Mina dan juga di atas Padang Arafah.

Ada puluhan ribu jemaah haji, dari sepelusuk dunia. Mereka daripada semua warna kulit, dari yang berambut kuning bermata biru kepada orang berkulit hitam. Tetapi kami semua sedang mengambil bahagian dalam ibadah yang sama, menggambarkan semangat kesatuan ummah dan ukhuwah yang mana pengalamanku di Amerika telah membuatkan aku percaya ia takkan wujud antara kulit putih dan bukan kulit putih.

Amerika perlu memahami Islam, kerana ini sebuah agama yang memadamkan isu bangsa daripada masyarakat. Di seluruh perjalananku di dunia Islam, aku telah berjumpa, bercakap, dan juga makan dengan golongan yang dianggap putih di Amerika – tetapi keputihan itu tiada di dalam sikap benak mereka oleh Islam. Belum pernah aku melihat ukhuwah yang sejati dan ikhlas sebagaimana diamalkan oleh semua bangsa bersama-sama, tanpa mengira bangsa mereka.

Kalian mungkin terkejut mendengar kata-kata ini daripadaku. Tetapi di dalam ibadah ini, apa yang aku lihat, dan mengalami sendiri, telah memaksaku untuk mengatur semula corak pemikiran yang selama ini aku pegang, dan mengenepikan kesimpulanku selama ini. Ini tidaklah susah sangat bagiku. Meskipun pendirianku teguh, aku selama-lamanya seorang insan yang cuba menghadapi kenyataan, dan menerima realiti kehidupan sebagai pengalaman dan pengetahuan baru apabila aku melaluinya. Selama ini mindaku terbuka, yang mana amat penting untuk keanjalan pemikiran yang mesti mengiringi setiap pencarian kebenaran yang sejati.

Selama sebelas hari di sini di dunia Islam, aku telah makan daripada talam yang sama, minum daripada gelas yang sama, dan tidur di atas tikar yang sama – sambil mengabdikan diri kepada Tuhan yang sama, dengan saudara-saudara seIslam, yang matanya sebiru-biru mata, yang rambutnya sekuning-kuning rambut, dan kulit seputih-putih kulit. Dan di dalam ucapan dan amalan umat Islam berkulit putih, aku rasai keikhlasan yang sama sebagaimana aku rasai dengan umat Islam berkulit hitam daripada Nigeria, Sudan dan Ghana.

Kami benar-benar semuanya sama (bersaudara) – kerana keimanan mereka kepada Tuhan Yang Maha Esa menghilangkan keputihan daripada minda mereka, daripada kelakuan mereka dan daripada sikap mereka.

Aku dapat buat kesimpulan, kiranya orang kulit putih Amerika dapat menerima Keesaan Tuhan, maka mereka juga, mungkin dapat menerima hakikat Kesatuan Manusia – dan berhenti menilai, menghalang dan mengancam orang lain atas ‘perbezaan’ warna kulit.

Dengan perkauman menghisap darah Amerika seperti barah yang tidak dapat disembuhkan, kalbu orang kulit putih Amerika yang kononnya ‘Kristian’ sepatutnya lebih terbuka kepada jawapan yang terbukti kepada masalah sebesar itu. Mungkin, ia suatu hari nanti akan sempat menyelamatkan Amerika daripada tragedi yang pasti – tragedi yang sama yang menimpa Jerman oleh perkauman yang akhirnya menghancurkan anak watan Jerman sendiri.

Setiap jam di Tanah Suci membolehkan aku mendapat jawapan kerohanian mengenai apa yang sedang berlaku di Amerika antara hitam dan putih. Negro Amerika tidak boleh dipersalahkan atas kebencian perkaumannya – dia hanya bertindak di atas empat ratus tahun perkauman secara sedar oleh kulit putih Amerika. Tetapi ketika perkauman membawa jalan buntu buat Amerika, aku percaya, dari pengalamanku bersama mereka, kulit putih generasi anum, di kolej dan di universiti, akan melihat tanda-tanda yang jelas dan mereka akan berpaling kepada jawapan kerohanian yang benar – satu-satunya jalan yang tinggal buat Amerika mengelakkan daripada tragedi yang perkauman pasti akan bawa.

Belum pernah aku dihormati seperti ini. Belum pernah aku dibuat terasa lebih rendah diri dan tidak bernilai. Siapa akan percaya rezeki yang dialami seorang Negro Amerika? Beberapa malam yang lepas, seorang yang di Amerika akan dipanggil kulit putih, seorang diplomat PBB, seorang duta, sahabat para raja-raja, memberikanku suite hotelnya, katilnya. Belum pernah aku terbayangpun untuk terima kehormatan seperti itu – kehormatan yang diberikan oleh Amerika kepada seorang Raja, bukannya seorang Negro.

Segala pujiian buat Allah, Tuhan Sekalian Alam.

Yang Benar,
El-Hajj Malik El-Shabazz (Malcolm X)”

Nota: Malcolm X memeluk agama islam sunni setelah pulang ke negaranya usai dari menunaikan haji pada tahun 1964.. Nama El-Hajj Malik El-Shabazz digunakan setelah memeluk islam..

Ketegangan yang meningkat antara beliau dan Nation Of Islam (NOI) membawa kepada kematiannya pada tahun 1965.. Malcolm X dikebumikan di Ferncliff Cemetery.. Tiga lelaki ditahan dan semuanya adalah ahli NOI.. Suatu memo FBI telah mendedahkan penglibatan agensi itu, dengan mengadakan perselisihan antara kedua gerakan itu yang berakhir dengan pembunuhan Malcolm X..

Semoga Allah merahmati rohnya... Al Fatihah..

0 comments:

Followers

Ruang Komen