Cerpen Love

"Aku cintakan kau.. Insya Allah sampai mati,"monolog Kamal sendirian. Sambil itu dia mencapai telefon bimbitnya merenung kembali segala SMS yang dihantar oleh orang yang dicintainya, Lina. Hampir dua tahun perkenalan mereka, segala pahit manis ditempuh bersama. Bukannya sehari dua malah dua tahun Kamal memendam perasaannya terhadap wanita itu. dua tahun bukannya waktu yang singkat. Sepanjang dua tahun itulah, Kamal terpaksa menahan perasaannya terhadap Lina semata-mata tidak mahu mencemarkan kesucian hubungan mereka yang dibina atas tali ukhuwwah fillah. Apakan daya, perasaan itu satu lumrah dalam hidup setiap manusia normal dan Kamal tidak boleh menafikan itu. Apa yang cuba dilakukan Kamal ialah menyibukkan diri dengan perkara-perkara lain tanpa memikirkan perasaannya terhadap Lina. Sentiasa tersemat di hatinya bahawa hanya Allah swt sahajalah cinta sejati ditujukan dan bukan orang lain.

"Tutt..Tuttt"nada SMS masuk mula berbunyi di telefon bimbit Kamal. Segera Kamal membukanya dengan harapan ianya dihantar oleh Lina. SMS di buka dan tertera lah:

Salam.. Lina kemalangan! Skrg di hospital Ampang

Berderau darah Kamal membaca SMS yang dihantar oleh Bella, housemate Lina. Segera Kamal mencapai kunci kereta dan memecut laju ke Hospital Ampang.

==========

Setibanya di ruang kaunter pertanyaan, segera Kamal bertanya kepada pekerja yang bertugas.

"Nurul Haslina Binti Halimi di mana?"tanya Kamal.
"Tunggu sebentar ya encik, saya check,"kata pekerja yang bertugas sambil menekan-nekan keyboard komputernya.
"Haslina Binti Halimi... Mangsa kemalangan.. Sekarang di ICU tingkat atas,"kata pekerja yang bertugs tersebut.

Tanpa berlengah, Kamal segera menaiki tangga dan menuju ke ruang ICU. Setibanya di ruangan ICU, dilihat ramai saudara mara dan sahabat yang menunggu. Kegelisahan jelas terpancar di wajah mereka. Ada yang sibuk menelefon dan tidak kurang juga ada yang menangis sambil ditenangkan oleh kerabat terdekat mereka. Dilihat Bella sedang menangis di satu sudut. Segera Kamal menuju ke arahnya.

"Bella, macam mana keadaan Lina?"tanya Kamal. Matanya mula merah.
"Lina masih dalam ICU, Mal. Aku tak tahu macam mana keadaan dia. Dengar cerita, agak teruk,"jelas Bella teresak-esak. Dikesat air matanya menggunakan tisu.
"Ya Allah, selamatkanlah Lina. Aku mohon padaMu ya Allah,"pinta Kamal dalam hati.

Seketika kemudian, pintu ICU dibuka dan seorang doktor separuh abad keluar menemui mereka.
"Di mana ahli keluarga mangsa?"tanya doktor itu.
"Saya bapa saudaranya,"kata Pak Din. "Lina macam mana, doktor?"tanyanya lagi.
"Saya harap semua bawak bersabar. Kami dah cuba sedaya upaya kami tapi Allah lebih menyayanginya. Lina dah meninggal dunia. Maafkan kami,"kata doktor tersebut sambil berlalu pergi. Merembes keluar air mata semua yang hadir di situ apatah lagi Bella yang sememangnya sahabat baik Lina. Tangisan semakin kuat kedengaran. Kamal yang sedari tadi mendengar berita itu seolah-olah terpaku, tidak mampu bergerak.

Kamal terasa dirinya lemah, dia menyandar di dinding dan terduduk. Kamal menangis teresak-esak mendengar berita itu. Semakin lama, semakin kuat tangisannya. Kamal menekupkan tangan ke muka dan menangis sekuat-kuatnya. Tidak dapat digambarkan betapa sedih dan pilunya hati Kamal yang memendam rasa selama dua tahun terhadap Lina. Apakan daya, Allah lebih menyayanginya. Segala kenangan bersama Lina bermain-main di benaknya. Meskipun mereka hanya berjumpa ketika usrah ternyata impaknya mampu membuatkan hatinya menangis semahu-mahunya.

"Kamal,"panggil Bella. Mata Bella merah dan pipinya basah dengan air mata.
"Ni ada surat untuk kau.. Dari arwah,"kata Bella sambil menghulurkan suratnya pada Kamal.

Kamal menyambut surat itu dengan perasaan sedih yang teramat sangat. Tangannya seolah-olah longlai untuk diangkat. Perlahan-lahan Kamal membuka surat tersebut. Bau wangi harum keluar dari surat yang bewarna pink itu. Di situ tertulis:

Salam sahabatku yang dihormati, semoga dilindungi Allah selalu..

Kita berkenalan hampir dua tahun, dan sepanjang dua tahun itu, ana merasa sangat bahagia kerana mengenali enta. Allah swt sudah mentakdirkan kita untuk saling berkenalan antara satu sama lain. Dan ana sangat bersyukur kerana berpeluang mengenali enta. Hanya enta sahajalah yang ana kenal dan ana rapat, tidak ada orang lain.

Diamnya ana terhadap enta tidak lah beerti ana bencikan enta. Malah ana tahu yang enta mencintai ana sepenuh jiwa enta, betul tak? Ana dapat rasakan yang sebenarnya jauh di sudut hati ana, ana juga mempunyai perasaan yang sama dengan enta. Tetapi kerana ana tidak mahu menjadi penyebab perginya seorang mujahid ke neraka, maka ana terpaksa memendam perasaan ana terhadap enta. Maafkan ana kerana menyebabkan enta memendam perasaan terhadap ana selama dua tahun. Ana cuma tak nak mencemarkan ukhuwwah yang kita bina selama dua tahun dengan perkara-perkara sebegitu. Pada ana, biarlah Allah yang menentukan segalanya. Ana pegang pada itu. Allah Maha Mengetahui hati hamba-hambaNya dan tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

Sememangnya ana mempunyai hasrat untuk menjadi suri hati enta namun ana sedar bahawa ana masih mempunyai banyak lagi komitmen yang belum diselesaikan di dunia ini. Komitmen terhadap pelajaran, adik-adik dan saudara mara ana, dan atas sebab itu ana tidak boleh menerima cinta enta. Seperti yang ana pernah ungkapkan, ana tidak menerima enta bukan bermakna ana bencikan enta tetapi syariat yang menghalang. Syariat Illahi yang menghalang ana daripada terus mengikut hawa nafsu dan hanyut dalam dunia cinta yang tidak diredhai Allah. Ana harap enta faham keadaan ana.

Selepas ini, jika Allah takdirkan kita untuk bersama, ana dengan rela hati menerimanya kerana Allah yang mengetahui apa yang terbaik untuk ana. Jika ana tidak ditakdirkan bersama enta, bermakna ada wanita lain yang lebih baik untuk enta di luar sana. Apa yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu juga datang dari Allah tetapi disandarkan kepada diri ana yang lemah ini.

Sekian dulu dari ana..

Wassalam..

2/7/10

Seusai membaca warkah terakhir tersebut, air mata Kamal kembali bercucuran membasahi pipi. Kali ini tangisannya semakin kuat. Digenggamnya surat itu sekuat-kuatnya dan dilekapkan ke muka. Basah surat bertulisan tangan itu dibasahi air mata Kamal. Seorang wanita yang dicintai selama dua tahun itu pergi dalam sekelip mata tanpa diduga. Siapa sangka, seorang sahabat terdekat, yang selalu berkongsi suka duka akhirnya pergi meninggalkan Kamal buat selama-lamanya.

===============

Urusan pengkebumian Lina berjalan lancar. Hujan renyai-renyai mulai turun seolah-olah turut menangisi pemergian seorang mujahidah yang menahan kehendak nafsunya kerana takutkan Allah. Kelihatan sahabat-sahahat dan saudara mara terdekat mulai pulang selesai membacakan talkin di pusara arwah Lina.

Kamal masih berdiri di sisi pusara wanita yang pernah dicintainya dahulu. Tidak dapat digambarkan kesedihan yang melanda hatinya melihat pusara itu. Sebuah pusara yang menempatkan jenazah sahabat sejatinya. Air mata Kamal tumpah lagi. Entah mengapa, dirinya seakan sukar untuk menerima pemergian sahabatnya itu. Namun itulah hakikat yang harus Kamal terima. Mati itu bukan hanya mengejar orang yang sakit malah orang yang sihat juga tetapi kita seringkali terlupa hakikat itu.

"Lina, lepas enti pergi, ana rasa kesepian. Kesepian yang teramat sangat yang tak pernah ana alami dulu. Ana rasa jiwa ana kosong, hidup ana dah tak beerti lagi tanpa enti. Entah kenapa ana rasa susah sangat nak lepaskan enti pergi. Sampai ke hari ini, di depan pusara enti, ana masih lagi tidak percaya yang enti dah pergi tinggalkan ana. Enti, dalam hati ana, enti berada di tempat yang istimewa selepas Allah dan RasulNya. Ana akan simpan enti dalam jiwa ana untuk selama-lamanya sampai ana mati. Waktu itu mungkin ana sudah berkahwin dan mempunyai zuriat tetapi enti ingatlah bahawa enti tidak akan sesekali luput dalam fikiran ana dan enti akan tetap menjadi sahabat ana yang terbaik yang pernah ana ada. Damailah enti di sana. Semoga berada di lembayung rahmatNya,"kata Kamal sambil berlalu pergi meninggalkan tanah perkuburan. Sesekali dia memandang pusara Lina dengan pandangan yang sayu. Tanah yang masih merah itu cukup untuk menitiskan air mata bagi yang mencintai.

"Selamat tinggal, Lina,"kata Kamal sebak. Saat pintu kereta ditutup, Kamal menangis lagi semahu-mahunya........

Tamat



0 comments:

Followers

Ruang Komen