AKU pulang ke rumah apabila tugasku sebagai pengajar tamat tepat jam 2 petang. Aku tinggal berdua dengan seorang lagi rakanku yang juga seorang guru, Nurul namanya. Dia mengajar di sekolah yang sama di tempatku mengajar cuma waktunya sedikit berbeza. Mungkin kerana dia mengajar kelas lain. Rumah yang aku diami tidak sebesar rumah banglo. Hanya ada satu bilik dan aku berkongsi bilik dengan Nurul. Tandasnya sempit, muat-muat untuk membuang air sahaja.
Aku menghempaskan badanku ke katil sejurus tiba di rumah. Aku memandang siling. Fikiranku menerawang teringatkan Zahra di sekolah tadi. Hati mana tidak terusik melihatkan penderitaan dan jerit payah penduduk Iraq, kanak-kanak dan orang tua terutamanya. Sudahlah negara mereka diceroboh, terpaksa pula berpisah dengan keluarga tercinta. Zahra ada memberitahuku bahawa ibu bapanya sudah meninggal dunia. Menurutnya, mereka terkorban dalam siri pengeboman yang dibuat tentera bersekutu. Adik-beradiknya yang lain entah ke mana. Entah hidup entah mati. Tinggallah Zahra sebatang kara di sini. Mujurlah ada tetangga yang sudi menghulurkan bantuan dengan mengambilnya sebagai anak angkat.
Aku menghela nafas. Aku masih lagi tidak dapat membayangkan betapa sengsaranya kehidupan penduduk Iraq. Apakah keadaannya sama jika aku dihantar ke pedalaman Sabah dan Sarawak? Ah tidak sama sekali. Keadaan itu tidak mungkin sama. Sekurang-kurangnya pedalaman Sabah dan Sarawak aman tanpa peperangan. Sedangkan di sini? Peluru bersimpang siur dari segenap sudut. Bunyi tembakan raifal M16 dan AK-47 kedengaran hampir setiap hari. Bom usah dikira, setiap hari pasti akan ada berita pengeboman di pasar. Natijahnya ramai orang awam yang terkorban. Aku merafak syukur kepada Illahi kerana kedudukan rumahku agak jauh dari pasar dan aku pula amat jarang turun ke pasar. Kalau tidak, kemungkinan badanku akan berkecai pasti tinggi.
Aku bangkit dari pembaringan dan duduk di birai katil. Aku melontarkan pandanganku jauh-jauh ke luar tingkap. Bayangan menara KLCC menari-menari di ruang mataku. Aku teringat Malaysia. Sungguh! Jika orang Malaysia berada di tempatku sekarang, pasti tidak akan terlintas di fikiran anak muda untuk merempit, pasti tidak ada wanita yang mendedahkan aurat. Kerana hidup di sini ibarat nyawa di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja nyawa boleh direnggut muncung raifal M16, bila-bila sahaja jasad boleh berkecai dalam letupan mortar dan bom. Itu hakikatnya. Dan orang Malaysia pasti tidak akan merasai hakikat itu.
Kerana kita di zon selesa.
Yang benar,
Aliya Nasuha.
Catitan Seorang Guru (Bah 2)
Posted by
Ninja Jepang
Thursday, April 7, 2011
Labels: Carutan dan Karutan
2 comments:
Sekali lagi mengenal erti syukur.
P/s: Bro, satu perubahan yang drastik. Tahniah =D
Terima kasih. :D
Post a Comment