Catitan Seorang Guru (Bah. 1)

Credit : Old School
AIR mataku hampir menitis sewaktu melangkah masuk ke kelas yang serba kekurangan itu. Ini pertama kali aku mengajar di kelas yang senaif ini. Kelas itu tidak seselesa kelas di negara kita. Hanya beratapkan pelepah kurma, berlantaikan tanah. Dindingnya diperbuat dari plywood. Pelajar-pelajarnya tidak punya uniform, hanya baju kemeja T lusuh dan seluar khaki yang rabak. Pelajar perempuan pula rata-ratanya memakai kain dan baju T berlengan panjang yang jelas tercalit tanah. Masing-masing menjinjing beg yang buruk dan pudar warnanya. Namun aku berbangga kerana mereka sangat menjulang ilmu pengetahuan. Beg-beg diletak di atas meja, bukan di bawah sepertimana di negara kita. 

"Ustazah, Maliziya (Malaysia) negara yang cantikkah? Saya tidak pernah ke sana," tanya salah seorang pelajar perempuan yang bernama Zahra. Matanya berkaca. Tampak jelas keikhlasan dan ketulusan dari wajah polosnya. Aku meraih tangannya dan aku kucup dahinya dengan penuh kasih sayang. Perlahan-lahan aku mengangguk.

"Ya. Maliziya sebuah negara yang cantik. Bila Zahra dah besar, Zahra boleh pergi ke sana," jawabku dengan loghat Arab. Zahra meirikkan senyuman mesra.

Jeda sebentar.

"Ustazah, boleh saya dakap ustazah?" tanya Zahra dengan suara yang tersekat-sekat. Matanya kelihatan berkaca. Ada air bening bertakung di matanya.

"Boleh," kataku sambil mendepangkan tangan bersedia menyambut dakapan anak kecil itu. Zahra mendakapku. Erat metah dakapannya. Seketika, telingaku menangkap bunyi esakan kecil dari pelukanku. Zahra menangis. Tangisan kecil itu cukup untuk memecahkan empangan air mataku namun aku tahan apabila melihat pelajar-pelajar lain sedang khusyuk memerhatikan gelagat kami berdua.

"Ustazah, berjanjilah pada saya yang ustazah akan sambut saya di Malaysia kalau saya sempat membesar seperti ustazah," kata Zahra tersekat-sekat. Esak tangisnya masih kedengaran di sisi cuping. Mendengar kata-katanya, serta merta empangan air mataku pecah. Tanpa memperdulikan pelajar-pelajar lain, aku biarkan air mataku merembes keluar. Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala. Aku tidak mampu lagi untuk berbicara.

"Insya Allah Zahra. Insya Allah," kataku dalam hati.

Suasana dalam kelas itu sepi tiada suara tawa riang. Yang ada hanyalah sebuah tangisan mulus seorang gadis kecil berbangsa Arab dan seorang guru berbangsa Melayu. Guru itu menukilkan dalam buku catatannya mengenai apa yang dinamakan sebagai 'bersyukur'. Berikut adalah catatannya:

Kadang-kadang kita hanya tahu merungut walau kesusahan yang kita hadapi itu secebis cuma. Kita tidak pernah merasai apa yang dirasakan oleh orang lain yang jauh lebih susah dari kita. Mungkin kerana mereka nun jauh di sana, atau mungkin kita sendiri merasakan kita lah orang yang paling susah di dunia ini. Kita tidak pernah merantau jauh ke negara-negara bergolak. Peperangan misalnya dan melihat sendiri betapa susah dan sukarnya mereka meneruskan hidup. Kita hanya mampu melihat di televisyen yang mana perasaannya tidaklah sekuat kita sendiri pergi ke sana. Merasai dan mengharungi pancaroba dunia itu pahit. Tetapi pahit itulah ubat. Ubatnya adalah bersyukur atas apa yang kita ada sementara orang lain tidak ada apa yang kita ada. Dan untuk mendapatkan ubat itu, kesabaran dan usaha perlu digandingkan sekali.


Selamat bersyukur dari Tikrit, Iraq.

Yang benar,

Aliya Nasuha

4 comments:

This Is UA April 4, 2011 at 9:27 AM  

Subhanallah, Alhamdulillah kerana kita dilahirkan di bumi Malaysia yang masih lagi aman. Semoga cerita ini memberi manfaat pada pembacanya. :)

Ninja Jepang April 4, 2011 at 2:01 PM  

Terima kasih :)

Sayyidusshuhada April 5, 2011 at 1:09 AM  

Erti syukur.

Ninja Jepang April 5, 2011 at 2:10 AM  

Selamat bersyukur :)

Followers

Ruang Komen