Di Persimpangan Itu

Credit: gouchongloui

AKU mencari Tuhan. Bukan aku tidak percaya Tuhan cuma kadangkala aku perlukan sesuatu untuk menyuntik keyakinan aku pada Tuhan. Aku berdoa, siang dan malam tanpa henti. Tapi mengapa doaku masih tergantung di langit? Persoalan sebegini selalu sahaja berlegar-legar dalam benakku. Bukan tidak pernah rakan-rakanku menasihatiku, cuma aku tidak boleh larikan diri dari memikirkannya.

Aku membaca Al-Quran dan aku temukan beberapa bait indah dalamnya yang menjawab segala persoalanku namun aku masih tidak berpuas hati. Selagi aku tidak merasainya sendiri, aku susah untuk percaya. Ya, aku tahu sudah pasti akan ada beberapa kerat manusia yang memandang serong kepadaku lantaran persoalan yang aku utarakan bukan sesuatu yang biasa. Pernah aku berjumpa ustaz sekolah pondok di Kelantan tempoh hari tetapi hampa. Bukan sahaja persoalan aku tidak berjawab malahan aku dihambat keluar bagaikan anjing gelandangan.

*****

"Ustaz, kenapa doa saya tak dimakbulkan Tuhan?" Aku bertanya pada seorang kiai yang mengajar di sebuah masjid bandaraya. Kali ini aku nekad meskipun aku tahu aku bakal dihambat keluar. Aku hanya menundukkan kepala. Menunggu dihambat. Tak semena-mena, aku terasa mataku berpinar. Berbekas tapak tangan di pipi kananku. Aku menyentuh pipiku. Sakit dan perit. Ini pertama kali aku ditampar kerana bertanya. Selama ini aku hanya dihambat. Bingkas aku bangun dan keluar dari masjid bandaraya tanpa menoleh.

Tiba di satu persimpangan jalan yang agak asing bagiku, aku melabuhkan punggungku di atas pili air yang berwarna merah itu. Kedua belah tanganku raupkan di muka. Aku tak berdaya lagi untuk menahan empangan air mata yang kian membanjir. Empangan air mataku pecah dan aku  merelakannya turun ke pipi. Aku terkedu, kenapa sampai begitu sekali reaksi mereka padaku? Apakah soalan aku tidak ada jawapan? Aku biarkan air mataku gugur bersama kesedihan yang melanda atmaku. Biarkan rasa peritku hilang ditelan angin lalu.

Azan maghrib berkumandang dari pembesar suara sebuah masjid.

"Eh? Sejak bila ada masjid di sini?" Aku kehairanan. Ah biarlah, serta-merta aku melangkah ke sana untuk menunaikan solat berjemaah. Siapa tahu, di situ punya jawapannya? Hati kecilku berbicara.

Seusai solat, aku menyandarkan badanku ke dinding. Aku tidak tahu pada siapa harusku ajukan persoalan aku. Riak wajah pak imam yang bengis mematikan niatku untuk bertanya. Masjid makin lengang. Ada beberapa orang jemaah masih lagi bersolat. Solat sunat agaknya. Aku sedikit hairan kerana kebiasaan masjid akan mengadakan sedikit pengisian tetapi tidak malam ini. Mungkin jemaah tidak ramai, fikirku.

"Adik, kenapa adik nampak muram?" Tiba-tiba terdengar suara menegurku dari belakang. Aku terlompat. Mujur aku dapat menahan diri, kalau tidak mungkin aku sudah berpencak di hadapan lelaki yang menegurku tadi. Aku mengurut dada. Lelaki itu tidak memberi reaksi. Kulitnya putih seperti mayat. Dia memandangku tanpa mengukir senyuman sedikitpun.Di tangannya ada sebuah kitab lama. Aku tak nampak tajuknya tapi yang pasti ianya berbahasa Arab.

Aku menghulurkan salam perkenalan kepadanya dan dia menyambut.

"Kassim," kataku ramah.
"Mukhtar," kata lelaki itu selamba. Lelaki itu membuat isyarat supaya mengikutnya ke luar masjid berdekatan anak tangga. Aku hanya membontotinya dari belakang.

"Adik, apa sebenarnya yang adik cari?" tanya Mukhtar seolah-olah dapat membaca apa yang bermain di benakku ini. Aku menggaru-garukan kepala. Teragak-agak aku menjawabnya

"Saya... Saya cuma nak tahu kenapa Tuhan tidak makbulkan permintaan saya sedangkan saya berdoa kepadaNya setiap hari".  Aku menundukkan kepala seperti biasa. Aku bersedia untuk menerima hukumannya. Bahuku terasa disentuh lembut. Sejuk telapak tangannya.

"Adik, boleh jadi Tuhan sudah memakbulkan doa adik dalam bentuk yang kita sendiri tidak menyedarinya," kata Mukhtar tenang. Aku membuat muka hairan. Sungguh, aku tidak faham apa yang cuba disampaikan. 

Melihat aku yang sudah kebingungan, Mukhtar melanjutkan kata-katanya. 

"Tuhan tidak semestinya datangkan kekuatan hati pada saat kita memohon kekuatan hati. Tuhan tidak semestinya datangkan kefahaman dalam kepala kita pada saat kita memohon kefahaman. Tuhan tidak semestinya terus memberikan kita hati yang sabar pada saat kita memohon menjadi orang yang sabar. Tuhan tidak semestinya datangkan duit secara tiba-tiba pada saat kita memohon kekayaan. Tuhan juga tidak semestinya memberikan kita bahagia secara singkat pada saat kita merintih mengenainya.”

Aku hanya membisu. Ada benar kata-katanya. Dia menyambung lagi.
"Di saat kita memohon kekuatan hati, mungkin saja Tuhan datangkan bencana supaya hati kita menjadi kuat. Di saat kita memohon kefahaman, mungkin saja Tuhan mendatangkan persoalan kepada kita supaya kita bertanya dan faham. Di saat kita meminta hati yang sabar, mungkin saja Tuhan berikan kita cubaan dalam bentuk penghinaan dari manusia supaya kita dilatih untuk bersabar. Di saat kita memohon kekayaan, mungkin saja Tuhan datangkan peluang pekerjaan untuk diisi. Di saat kita memohon bahagia, mungkin saja Tuhan datangkan kita keluarga, sahabat handai dan teman-teman sebagai pengubat hati yang duka. Bukankah Allah itu Maha Penyayang?" 

Aku tersentak. Aku tidak pernah mendengar butir bicara seindah ini selama aku hidup. Aku seka air mata yang mengalir di pipi. Entah mengapa hatiku mudah tersentuh malam ini. 

"Terima kasih," ujarku sambil menyeka air mataku sekali lagi. Bibirnya melirikkan senyuman. 

Jam sudah menunjukkan jam 8.15 malam. Aku harus segera pulang meskipun hatiku meronta untuk bersolat Isyak berjemaah di sini. Aku teringat kata-kata ibuku yang melarangku keluar malam tanpa memberitahunya. Aku menggagau kocek seluarku. Ah, telefonku tak ada bateri. Mukhtar aku lihat masih lagi bertimpuh di hadapanku tanpa berganjak. 

"Mukhtar, saya harus pulang. Ibu saya melarang saya keluar malam tanpa pengetahuannya," ujarku lembut. Mukhtar mengangguk-anggukkan kepala. Dia menghulurkan tangannya padaku. Aku menyambutnya. 

Aku melangkah keluar dari masjid tanpa menoleh lagi. Sepanjang perjalanan ke rumah, air mataku tidak henti-henti mengalir.

Setibanya di halaman rumah, ibuku beserta adik beradikku berlari dan memelukku. Aku terkesima. Mereka memelukku seolah-olah aku baru pulang dari medan perang. Aku memandang mereka dengan wajah hairan.

"Eh, kenapa ini?" Aku mengajukan pertanyaan. Mereka tidak menjawab sebaliknya mereka menuntunku masuk ke rumah. 

"Abang tidurlah dulu, mesti abang penat," kata adikku yang berusia 8 tahun itu. Aku bertambah hairan. Penat? Aku baru keluar 2-3 jam. Ah biarlah. Aku membaringkan badanku ke katil. Kata-kata Mukhtar dan adikku bermain serentak dalam benakku. Lama kelamaan mataku mula layu. Aku akhirnya tertidur. 

Keesokan harinya seawal jam 8 pagi aku bergegas keluar rumah untuk ke masjid yang aku kunjungi semalam. Untung-untung dapat berjumpa dengan Mukhtar lagi. Ibuku awal-awal lagi sudah keluar ke pasar. Adik-adikku sudah pasti masih lagi bergelumang dengan selimut.

*****

Aku tersentak. Aku gamam. Aku terpana setibanya aku di 'masjid'. Aku tidak ketemu masjid sebaliknya aku temukan sebuah tapak projek pembangunan yang ditinggalkan. Peristiwa di masjid semalam menari-nari di ruang mataku. Mukhtar! Siapa Mukhtar? Kenapa tangannya sejuk seperti ais? Kenapa kulitnya putih seperti mayat? Aku menekup mukaku dengan kedua telapak tangan. Aku seakan tidak percaya dengan apa yang menimpaku semalam. Aku berhalusinasikah? Atau aku sudah gila? Tanpa membuang masa aku langsung pulang ke rumah. Perasaanku bercampur baur. Takut, bingung, hairan semuanya bercampur. 

Sewaktu tiba di persimpangan di mana aku berjumpa Mukhtar, aku senyum tiba-tiba. Mungkin itu salah satu rahmat Tuhan. Tuhan mendatangkan Mukhtar kepadaku untuk meleraikan kekusutan yang membadai benakku.

Aku memandang ke langit.

"Terima kasih Tuhan."

7 comments:

noname April 1, 2011 at 12:43 PM  

good job bro !
best cerita ni, byk pengajaran

Sayyidusshuhada April 2, 2011 at 2:48 AM  

Ini cerpen ke kisah benar yang pernah kamu alami wahai bro?

Ninja Jepang April 2, 2011 at 2:52 AM  

Terima kasih :D

Ninja Jepang April 2, 2011 at 3:44 AM  

LM,
Ini cerpen. :D

Sayyidusshuhada April 2, 2011 at 8:04 AM  

Mati - mati saya ingat bro punya kisah silam (-__-')

Aimi Zainudin April 2, 2011 at 10:58 PM  

nice one!!
smg dirahmati Allah selalu..

Ninja Jepang April 4, 2011 at 1:35 AM  

terima asih cintahati.

Semoga bermanfaat dan semoga dirahmati Allah jua :)

Followers

Ruang Komen