HARI ini hari terakhir aku mengajar di sini. Di daerah bergolak Tikrit, Iraq. Setelah lebih setahun aku menabur bakti di sekolah usang ini, aku mengambil keputusan untuk berhenti dan kembali ke Malaysia bertemu ibu bapa dan sahabat handai yang sekian lama terpisah. Bukan aku tidak mahu mengajar di sini, cuma aku terpaksa menurut kehendak keluargaku yang beria-ria mahu aku pulang. Tidak boleh tidak, aku harus kembali. Meninggalkan sebuah daerah asing yang bergolak, sekolah usang yang selalu terputus bekalan elektrik setiap kali jet pejuang melintas, pelajar-pelajar berbangsa Arab dan Kurdish bukanlah sesuatu yang mudah dilupakan. Ianya akan sentiasa menjadi sebuah pengalaman yang banyak mengajarku erti syukur dan sabar. Akanku sematkan ia ke dalam kalbuku, bukan mindaku. Kerana minda mudah lupa, di kalbu tidak sekali.
"Benarkah ustazah akan pulang ke Maliziya?" tanya salah seorang pelajarku semasa kali terkakhir aku melangkah ke kelas. Pertanyaannya disambut suara hiba pelajar-pelajar lain. Aku mengetap bibir, menahan rasa sebak di dada. Perlahan-lahan aku mengangguk.
"Ya, sayang. Ustazah akan pulang ke Maliziya 3 hari lagi," tuturku dalam loghat arab.
Serentak riak wajah mereka berubah. Mereka mula bercakap sesama sendiri. Tentu. Tentunya yang paling terkesan dengan keputusanku ialah Zahra. Dia tidak bercakap banyak. Hanya melontarkan pandangannya jauh ke luar tingkap tanpa memandangku. Aku tahu dia berduka. Aku berjalan menghampirinya. Lantas aku usap kedua belah pipi gebunya.
"Zahra, kenapa?" Aku bertanya seperti orang bodoh. Dia hanya membisu.Tiada sepatah kata keluar dari bibir mungilnya itu. Matanya tidak berkelip. Menyedari dia tidak mahu berbicara, aku bangun dan meninggalkannya. Aku kembali ke depan kelas.
Aku memandang setiap riak wajah mereka. Sesekali aku lemparkan senyuman untuk mengubat hati yang lara. Lama aku berdiri di depan sambil otakku ligat menyusun kata. Aku menghela nafas panjang.
"Bersama kalian di sini memberi seribu erti buat diri ustazah sebagai salah seorang tenaga pengajar. Melalui kalian, ustazah dapat melihat betapa cekalnya hati kalian dalam mengangkat ilmu ke peringkat tertinggi, ustazah dapat melihat betapa tabahnya hati kalian dalam mengharungi pancaroba dunia. Setiap seorang dari kalian mengajar ustazah berpuluh malah beratus pengajaran yang tersirat yang hanya dapat dirasai melalui mata hati. Siapakah yang rela melihat semua itu berlalu pergi?
Kalam ilmu di dada ini, ustazah hamparkan di hadapan kalian untuk kalian menukil dan pahatkannya ke dalam hati kalian. Semoga ianya menjadi azimat sakti yang bakal merubah hidup kalian sekaligus mengangkat peradaban kalian ke peringkat tertinggi.
Kini, segala yang dihamparkan kian menghilang ditelan zaman. Ustazah sudah tidak punya apa lagi untuk dikongsi bersama kalian. Hanya satu harapan ustazah, kalian jadilah manusia berguna kepada agama, negara dan masyarakat. Meskipun kalian bermazhab Syiah, bermazhab Sunni, sentiasa ingat bahawa kalian adalah umat yang bernaung di bawah satu kalimah tauhid yang mengesakan Allah. Selagi kalian bernaung di bawah kalimah ini, sesekali jangan kalian berpecah-belah. Umat Islam akan sentiasa kuat jika bersatu dan akan lemah apabila diporak porandakan pihak musuh."
Cuping telingaku menangkap suara esakan kecil. Hatiku dijentik hiba seketika semasa mendengar esakan itu. Air bening mula menakung di kelopak mata. Aku tahan supaya ia tidak mengalir menuruni pipi yang montel ini. Aku melihat Zahra yang sedari tadi memandang ke luar tingkap. Dadanya berombak kencang bagai ada badai melanda. Untuk terakhir kalinya aku memanggil namanya dengan harapan dia memandangku. Tiada respons.
Aku mengemaskan buku di atas meja dan bersiap untuk keluar dari kelas. Riuh-rendah kelas itu dengan suara para pelajar. Ada yang bercakap sesama sendiri. Tidak kurang juga ada yang menangis. Aku berhenti di pintu untuk memberi lambaian terakhir kepada mereka. Sepertinya mereka merelakan pemergianku meski riak wajah mereka menipu.
"Ustazah pergi dahulu, Zahra," kataku sebelum berpaling ke luar kelas.
"Ustazah!!!" Jerit Zahra tiba-tiba. Aku mematikan langkah. Kelas yang tadinya riuh senyap seketika. Aku memandang ke belakang dan satu pelukan erat hinggap di pinggangku. Aku membalas pelukannya. Kali ini aku merelakan air mataku menitis, mungkin untuk kali terakhir. Zahra juga ikut menangis. Pelukannya erat metah seolah-olah enggan merelakanku pergi.
"Saya pasti akan rindukan ustazah," kata Zahra dalam esak tangis. Aku mengangguk-angguk.
"Ustazah juga akan rindukan Zahra," ujarku tersekat-sekat.
Sebuah suasana nan indah mengakhiri sebuah cereka yang terhasil melalui imaginasi. Tiada apa lagi yang mampu dititipkan untuk mencorak sebuah lukisan masyarakat. Hanya sebuah catitan seorang guru yang mampu dilukiskan agar kita menjadi umat yang bersyukur sentiasa. Membandingkan kehidupan seorang Arab yang hidup dalam kesempitan dan seorang Malaysia yang hidup dalam kelapangan amatlah mudah. Semudah bertutur bicara tetapi berapa ramaikah yang mampu menghadapinya?
Salam sayang dari Kuala Lumpur untuk warga Iraq.
Yang Benar,
Aliya Nasuha
5 comments:
akhirnya sampai juga di penghujung cerita. bgus ! byk memberi pengajaran. sedikit sebanyak memberi keinsafan dalam diri :)
teruskan menulis cerpen
Hamdillah.
Insya Allah ya ukhti.
Terima kasih :D
Alhamdulillah. Sebak jugak.
Baik, saya pergi ke toilet dulu nak nanges.
Sekian terima kasih T___T
Waduh2 LM. . . Saya rasa tiada feel baca catitan ni. Terasa masih ada lompang sana sini. .. :(
Baca tu kena ada feel sikit. Kena ada penghayatan, kalau tak memang tak rasa pape =D
Teruskan~~~
Post a Comment