Berpada-Padalah


"Kau bukan kawan aku lagi!", kata Badol kepada Mat sambil berlalu dari situ. Mat terpinga-pinga bila ditinggalkan keseorangan. Dia sendiri pun tidak mengerti apakah sebab musabab Badol memutuskan persahabatan dengannya. Mat berjalan pulang keseorangan sambil sekeping dokumen berada dalam tangannya. 'Parti Cap Ayam', begitulah yang tertera di dokumen tersebut.

"Oh ya! Mugkin sebab ini kot," kata Mat sambil memandang dokumen yang dipegangnya. Baru dia teringat yang Badol merupakan AJK Kawasan Parti Cap Rambutan sedangkan dirinya baru sahaja mendaftarkan diri sebagai ahli biasa Parti Cap Ayam. Mat mematikan langkah, terus berpatah balik menuju ke rumah Badol.

"Assalamualaikum, Badol oo Badol,"jerit Mat dari luar pintu pagar rumah.
"Kau nak apa datang rumah aku ni?!" jerkah Badol dari pintu serambi.
"Allah kau ni, aku datang baik-baik nak jumpa kau ni. Buka lah pagar ni dulu,"kata Mat.
"Kau nak apa lagi ni?! Aku tak kenal kau!"jerkah Badol sekaligus menyentakkan Mat. Betapa sedih dan peritnya hati Mat apabila sahabat baiknya tidak lagi mengaku dirinya sebagai kawan. Adakah kerana berbeza fahaman politikus, silaturahim terputus.

"Badol... Badol..", rintih Mat sambil berlalu pergi meninggalkan rumah Badol.
"Dammm," pintu rumah ditutup kuat. Mat memandang rumah sahabatnya dengan pandangan yang sayu. Tanpa disedari air matanya menitis.

Sejak itu Mat dan Badol tidak lagi bertegur sapa. Mereka hanya bertentang mata hanya setiap 5 tahun. Itupun semasa kempen sebelum pilihanraya. Ukhuwwah yang terbina putus begitu sahaja seolah-olah tiada nilainya.

*********************************************************

Berpada-padalah dalam berpolitik. Jangan diikutkan sangat fanatik kepartian khususnya dalam kehidupan bermasyarakat kelak kita akan menyesal kemudian hari. Apalah gunanya politik kepartian andai ia penyebab putusnya hubungan sesama Islam. Itu kalau Muslim dengan Muslim, kalau Muslim dengan bukan Muslim maka terputuslah hubungan persahabatan yang terbina.

Tidak perlu bersifat houlier than thou dalam masyarakat. Tidak perlu kita menganggap 'parti aku yang lebih baik dari parti lain' dan sebagainya. Masing-masing ada misi dan visi yang harus dilaksanakan. Anda sebagai pendokong parti, bekerjalah untuk memperkasakan parti di samping mentarbiyyah ahli-ahli yang lain. Tidak perlu memandang sinis apa yang parti lain buat (andai parti tersebut membuat kebajikan). Siapa anda untuk mengukur kebajikan mereka? Itu kerja Allah swt maka biarlah Allah swt mengukurnya. Parti ini membuat baik, maka kita perlulah menghormatinya dan memberi sokongan. Bukannya memandang rendah usaha mereka. Jangan hanya kerana mereka tidak memperjuangkan Islam maka kita memandang buruk segala yang mereka buat. Bak kata orang, buang yang keruh, ambik yang jernih.

Bersederhanalah dalam berpolitik. Berpolitiklah dengan pertimbangan yang rasional dan matang. Jangan berpolitik nafsu serakah. Hanya kerana sentimen kita terhadap parti itu, maka kita memandang rendah semua usaha yang mereka buat walaupun mereka membuat kebaikan! Ada yang kata "parti ni bagi sedekah untuk raih undi je". Persoalannya dari mana mereka tahu yang parti ni memberi sedekah untuk meraih undi? Kasyafkah mereka? Ataupun berdasarkan sentimen kebencian semata-mata?

Yang baik untuk rakyat, sokonglah walaupun parti itu salah pada pandangan parti ini. Ikhlas tak ikhlas, biarlah Allah yang menentukannya. Bersangka baiklah sesama insan. Kita dikurniakan otak dan akal untuk berfikir yang mana baik dan yang mana buruk. Gunalah kurniaan Allah swt sebaik mungkin.

Hanya Allah swt yang mengetahui hati hamba-hambaNya. Andai apa yang mereka buat itu ikhlas, maka atas Allah swt lah untuk memberi ganjaran kepada mereka. Kita hanya manusia yang lemah, kita tidak layak untuk mempertikaikan niat baik orang lain.

Teringat kata-kata seorang sahabat maya, kata beliau::

"Kalau perempuan pakai tudung tapi tidak solat, mereka dapat la pahala sebab pakai tudung dan tak dapat pahala sebab tak solat.
Kalau perempuan tu freehair tapi solat, biarlah Allah yang hukum mereka di akhirat kelak"

Oleh itu, berpada-padalah dalam berpolitik. Berpolitik boleh tapi jangan taksub politik.

Wallahualam..



1 comments:

This Is UA May 14, 2010 at 1:55 PM  

betul..sy stuju dgn post ni.. Byk contoh ini berlaku si sekeliling skrg..bahkan, anak2 mnjadi mgsa.. x boleh berkwn dgn org yg berlainan parti..=(

Followers

Ruang Komen