Iluvislam.
Masa mula-mula jatuh cinta |
Bila dah jatuh cinta, dia beralih arah |
Labels: Iluvislam
Melaknat Penzalim
Jika suatu hari nanti kita melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana ibu bapa kita dikelar lehernya sehingga mati, apakah yang akan kita katakan?
Jika suatu hari nanti kita melihat kaum kerabat kita dipukul dan dilanyak habis-habisan sehingga pecah kepala dan mati di ribaan kita, apakah yang kita akan lakukan?
Sebagai insan yang bernama manusia, sekurang-kurangnya apabila kita melihat kezaliman berlaku di depan mata kita lebih-lebih lagi terhadap keluarga kita, pasti akan timbul rasa marah jauh di dasar hati. Caci maki pasti akan terlintas di ruang hati kita sebagai tanda protes terhadap kezaliman yang dilakukan. Kebiasaannya apabila manusia tengah marah, kita gagal untuk mengawal emosi dan akal waras kita. Kerana itulah adanya tumbuk bertumbuk/bunuh membunuh antara pihak yang diprovokasi dan si pembuat provokasi.
Jika mencaci maki itu berdosa, apakah lagi cara yang 'tidak berdosa' yang kita mampu lakukan? Tersenyum mesra kala ibu bapa kita dikelar lehernya? Ketawa mengekek kala kaum kerabat kita dilanyak sehingga mati? Saya tidak percaya wujudnya manusia yang berhati kering sebegitu (tidak ada perasaan marah langsung). Fitrah manusia pasti akan ada perasaan marah jika kezaliman bertimpa-timpa ke atas kita. Tolak ke tepi dahulu kes-kes tsunami dan gempa bumi kerana isu yang cuba diutarakan adalah isu kezaliman manusia sesama manusia.
Jika orang bertanya saya cara apakah yang patut dilakukan, saya akan menjawab melaknat. Melaknat menurut kamus pelajar bermaksud jauh dari rahmat Allah. Beerti kita mendoakan si penzalim itu supaya jauh dari rahmat Allah. Persoalannya, adakah melaknat orang yang zalim itu berdosa?
"Mereka itu (orang-orang yang zalim) balasannya ialah laknat Allah, para malaikat, dan manusia seluruhnya” (QS 3: 87)
Aku teringat kisah seorang perempuan yang mana rumahnya dirobohkan oleh seorang raja. Perempuan itu mendoakan supaya raja itu ditimpa kehancuran. Dengan izin Allah, istana yang didiami raja itu runtuh dan penghuninya mati.
Gambar pertama menunjukkan masjid yang dirobohkan oleh tentera Arab Saudi.
Gambar kedua pula menunjukkan seorang rakyat Bahrain dibunuh oleh tentera Arab Saudi
Aku tertanya-tanya, apakah masih ada senyum meniti di bibir jika ahli keluarga kita menjadi seperti gambar kedua?
Siapa pun mereka, Muslim ataupun tidak. Mereka adalah penzalim. Dan penzalim harus dihapuskan. Untuk insan yang tidak berupaya seperti kita-kita ni, yang kita mampu hanyalah berdoa,
Dan saya mendoakan semoga Allah melaknat kerajaan zalim dan semoga Allah menghancurkan mereka sehancur-hancurnya.
Berdosakah saya mendoakan begitu? Sila berikan dalilnya.
Doa Kepada Tuhan
Labels: Ahlul Bayt , Islam
Label
Apabila kita mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan pendirian PAS, maka kita akan dilabel sebagai ejen UMNO.
Apabila kita mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan UMNO, maka kita akan dilabel sebagai ejen PAS.
Apabila kita mengeluarkan kenyataan yang menyokong negara Iran, maka kita akan dilabel sebagai ejen Syiah.
Apabila kita mengeluarkan kenyataan yang menyokong negara Arab Saudi, maka kita akan dilabel sebagai ejen Wahabi.
Demikianlah sikap melabelkan dalam masyarakat kita. Peace. :)
Labels: Carutan dan Karutan
Catitan Seorang Guru (Bah. Akhir)
HARI ini hari terakhir aku mengajar di sini. Di daerah bergolak Tikrit, Iraq. Setelah lebih setahun aku menabur bakti di sekolah usang ini, aku mengambil keputusan untuk berhenti dan kembali ke Malaysia bertemu ibu bapa dan sahabat handai yang sekian lama terpisah. Bukan aku tidak mahu mengajar di sini, cuma aku terpaksa menurut kehendak keluargaku yang beria-ria mahu aku pulang. Tidak boleh tidak, aku harus kembali. Meninggalkan sebuah daerah asing yang bergolak, sekolah usang yang selalu terputus bekalan elektrik setiap kali jet pejuang melintas, pelajar-pelajar berbangsa Arab dan Kurdish bukanlah sesuatu yang mudah dilupakan. Ianya akan sentiasa menjadi sebuah pengalaman yang banyak mengajarku erti syukur dan sabar. Akanku sematkan ia ke dalam kalbuku, bukan mindaku. Kerana minda mudah lupa, di kalbu tidak sekali.
"Benarkah ustazah akan pulang ke Maliziya?" tanya salah seorang pelajarku semasa kali terkakhir aku melangkah ke kelas. Pertanyaannya disambut suara hiba pelajar-pelajar lain. Aku mengetap bibir, menahan rasa sebak di dada. Perlahan-lahan aku mengangguk.
"Ya, sayang. Ustazah akan pulang ke Maliziya 3 hari lagi," tuturku dalam loghat arab.
Serentak riak wajah mereka berubah. Mereka mula bercakap sesama sendiri. Tentu. Tentunya yang paling terkesan dengan keputusanku ialah Zahra. Dia tidak bercakap banyak. Hanya melontarkan pandangannya jauh ke luar tingkap tanpa memandangku. Aku tahu dia berduka. Aku berjalan menghampirinya. Lantas aku usap kedua belah pipi gebunya.
"Zahra, kenapa?" Aku bertanya seperti orang bodoh. Dia hanya membisu.Tiada sepatah kata keluar dari bibir mungilnya itu. Matanya tidak berkelip. Menyedari dia tidak mahu berbicara, aku bangun dan meninggalkannya. Aku kembali ke depan kelas.
Aku memandang setiap riak wajah mereka. Sesekali aku lemparkan senyuman untuk mengubat hati yang lara. Lama aku berdiri di depan sambil otakku ligat menyusun kata. Aku menghela nafas panjang.
"Bersama kalian di sini memberi seribu erti buat diri ustazah sebagai salah seorang tenaga pengajar. Melalui kalian, ustazah dapat melihat betapa cekalnya hati kalian dalam mengangkat ilmu ke peringkat tertinggi, ustazah dapat melihat betapa tabahnya hati kalian dalam mengharungi pancaroba dunia. Setiap seorang dari kalian mengajar ustazah berpuluh malah beratus pengajaran yang tersirat yang hanya dapat dirasai melalui mata hati. Siapakah yang rela melihat semua itu berlalu pergi?
Kalam ilmu di dada ini, ustazah hamparkan di hadapan kalian untuk kalian menukil dan pahatkannya ke dalam hati kalian. Semoga ianya menjadi azimat sakti yang bakal merubah hidup kalian sekaligus mengangkat peradaban kalian ke peringkat tertinggi.
Kini, segala yang dihamparkan kian menghilang ditelan zaman. Ustazah sudah tidak punya apa lagi untuk dikongsi bersama kalian. Hanya satu harapan ustazah, kalian jadilah manusia berguna kepada agama, negara dan masyarakat. Meskipun kalian bermazhab Syiah, bermazhab Sunni, sentiasa ingat bahawa kalian adalah umat yang bernaung di bawah satu kalimah tauhid yang mengesakan Allah. Selagi kalian bernaung di bawah kalimah ini, sesekali jangan kalian berpecah-belah. Umat Islam akan sentiasa kuat jika bersatu dan akan lemah apabila diporak porandakan pihak musuh."
Cuping telingaku menangkap suara esakan kecil. Hatiku dijentik hiba seketika semasa mendengar esakan itu. Air bening mula menakung di kelopak mata. Aku tahan supaya ia tidak mengalir menuruni pipi yang montel ini. Aku melihat Zahra yang sedari tadi memandang ke luar tingkap. Dadanya berombak kencang bagai ada badai melanda. Untuk terakhir kalinya aku memanggil namanya dengan harapan dia memandangku. Tiada respons.
Aku mengemaskan buku di atas meja dan bersiap untuk keluar dari kelas. Riuh-rendah kelas itu dengan suara para pelajar. Ada yang bercakap sesama sendiri. Tidak kurang juga ada yang menangis. Aku berhenti di pintu untuk memberi lambaian terakhir kepada mereka. Sepertinya mereka merelakan pemergianku meski riak wajah mereka menipu.
"Ustazah pergi dahulu, Zahra," kataku sebelum berpaling ke luar kelas.
"Ustazah!!!" Jerit Zahra tiba-tiba. Aku mematikan langkah. Kelas yang tadinya riuh senyap seketika. Aku memandang ke belakang dan satu pelukan erat hinggap di pinggangku. Aku membalas pelukannya. Kali ini aku merelakan air mataku menitis, mungkin untuk kali terakhir. Zahra juga ikut menangis. Pelukannya erat metah seolah-olah enggan merelakanku pergi.
"Saya pasti akan rindukan ustazah," kata Zahra dalam esak tangis. Aku mengangguk-angguk.
"Ustazah juga akan rindukan Zahra," ujarku tersekat-sekat.
Sebuah suasana nan indah mengakhiri sebuah cereka yang terhasil melalui imaginasi. Tiada apa lagi yang mampu dititipkan untuk mencorak sebuah lukisan masyarakat. Hanya sebuah catitan seorang guru yang mampu dilukiskan agar kita menjadi umat yang bersyukur sentiasa. Membandingkan kehidupan seorang Arab yang hidup dalam kesempitan dan seorang Malaysia yang hidup dalam kelapangan amatlah mudah. Semudah bertutur bicara tetapi berapa ramaikah yang mampu menghadapinya?
Salam sayang dari Kuala Lumpur untuk warga Iraq.
Yang Benar,
Aliya Nasuha
Labels: Carutan dan Karutan
Catitan Seorang Guru (Bah 2)
AKU pulang ke rumah apabila tugasku sebagai pengajar tamat tepat jam 2 petang. Aku tinggal berdua dengan seorang lagi rakanku yang juga seorang guru, Nurul namanya. Dia mengajar di sekolah yang sama di tempatku mengajar cuma waktunya sedikit berbeza. Mungkin kerana dia mengajar kelas lain. Rumah yang aku diami tidak sebesar rumah banglo. Hanya ada satu bilik dan aku berkongsi bilik dengan Nurul. Tandasnya sempit, muat-muat untuk membuang air sahaja.
Aku menghempaskan badanku ke katil sejurus tiba di rumah. Aku memandang siling. Fikiranku menerawang teringatkan Zahra di sekolah tadi. Hati mana tidak terusik melihatkan penderitaan dan jerit payah penduduk Iraq, kanak-kanak dan orang tua terutamanya. Sudahlah negara mereka diceroboh, terpaksa pula berpisah dengan keluarga tercinta. Zahra ada memberitahuku bahawa ibu bapanya sudah meninggal dunia. Menurutnya, mereka terkorban dalam siri pengeboman yang dibuat tentera bersekutu. Adik-beradiknya yang lain entah ke mana. Entah hidup entah mati. Tinggallah Zahra sebatang kara di sini. Mujurlah ada tetangga yang sudi menghulurkan bantuan dengan mengambilnya sebagai anak angkat.
Aku menghela nafas. Aku masih lagi tidak dapat membayangkan betapa sengsaranya kehidupan penduduk Iraq. Apakah keadaannya sama jika aku dihantar ke pedalaman Sabah dan Sarawak? Ah tidak sama sekali. Keadaan itu tidak mungkin sama. Sekurang-kurangnya pedalaman Sabah dan Sarawak aman tanpa peperangan. Sedangkan di sini? Peluru bersimpang siur dari segenap sudut. Bunyi tembakan raifal M16 dan AK-47 kedengaran hampir setiap hari. Bom usah dikira, setiap hari pasti akan ada berita pengeboman di pasar. Natijahnya ramai orang awam yang terkorban. Aku merafak syukur kepada Illahi kerana kedudukan rumahku agak jauh dari pasar dan aku pula amat jarang turun ke pasar. Kalau tidak, kemungkinan badanku akan berkecai pasti tinggi.
Aku bangkit dari pembaringan dan duduk di birai katil. Aku melontarkan pandanganku jauh-jauh ke luar tingkap. Bayangan menara KLCC menari-menari di ruang mataku. Aku teringat Malaysia. Sungguh! Jika orang Malaysia berada di tempatku sekarang, pasti tidak akan terlintas di fikiran anak muda untuk merempit, pasti tidak ada wanita yang mendedahkan aurat. Kerana hidup di sini ibarat nyawa di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja nyawa boleh direnggut muncung raifal M16, bila-bila sahaja jasad boleh berkecai dalam letupan mortar dan bom. Itu hakikatnya. Dan orang Malaysia pasti tidak akan merasai hakikat itu.
Kerana kita di zon selesa.
Yang benar,
Aliya Nasuha.
Labels: Carutan dan Karutan
Catitan Seorang Guru (Bah. 1)
Credit : Old School |
"Ustazah, Maliziya (Malaysia) negara yang cantikkah? Saya tidak pernah ke sana," tanya salah seorang pelajar perempuan yang bernama Zahra. Matanya berkaca. Tampak jelas keikhlasan dan ketulusan dari wajah polosnya. Aku meraih tangannya dan aku kucup dahinya dengan penuh kasih sayang. Perlahan-lahan aku mengangguk.
"Ya. Maliziya sebuah negara yang cantik. Bila Zahra dah besar, Zahra boleh pergi ke sana," jawabku dengan loghat Arab. Zahra meirikkan senyuman mesra.
Jeda sebentar.
"Ustazah, boleh saya dakap ustazah?" tanya Zahra dengan suara yang tersekat-sekat. Matanya kelihatan berkaca. Ada air bening bertakung di matanya.
"Boleh," kataku sambil mendepangkan tangan bersedia menyambut dakapan anak kecil itu. Zahra mendakapku. Erat metah dakapannya. Seketika, telingaku menangkap bunyi esakan kecil dari pelukanku. Zahra menangis. Tangisan kecil itu cukup untuk memecahkan empangan air mataku namun aku tahan apabila melihat pelajar-pelajar lain sedang khusyuk memerhatikan gelagat kami berdua.
"Ustazah, berjanjilah pada saya yang ustazah akan sambut saya di Malaysia kalau saya sempat membesar seperti ustazah," kata Zahra tersekat-sekat. Esak tangisnya masih kedengaran di sisi cuping. Mendengar kata-katanya, serta merta empangan air mataku pecah. Tanpa memperdulikan pelajar-pelajar lain, aku biarkan air mataku merembes keluar. Aku hanya mengangguk-anggukkan kepala. Aku tidak mampu lagi untuk berbicara.
"Insya Allah Zahra. Insya Allah," kataku dalam hati.
Suasana dalam kelas itu sepi tiada suara tawa riang. Yang ada hanyalah sebuah tangisan mulus seorang gadis kecil berbangsa Arab dan seorang guru berbangsa Melayu. Guru itu menukilkan dalam buku catatannya mengenai apa yang dinamakan sebagai 'bersyukur'. Berikut adalah catatannya:
Kadang-kadang kita hanya tahu merungut walau kesusahan yang kita hadapi itu secebis cuma. Kita tidak pernah merasai apa yang dirasakan oleh orang lain yang jauh lebih susah dari kita. Mungkin kerana mereka nun jauh di sana, atau mungkin kita sendiri merasakan kita lah orang yang paling susah di dunia ini. Kita tidak pernah merantau jauh ke negara-negara bergolak. Peperangan misalnya dan melihat sendiri betapa susah dan sukarnya mereka meneruskan hidup. Kita hanya mampu melihat di televisyen yang mana perasaannya tidaklah sekuat kita sendiri pergi ke sana. Merasai dan mengharungi pancaroba dunia itu pahit. Tetapi pahit itulah ubat. Ubatnya adalah bersyukur atas apa yang kita ada sementara orang lain tidak ada apa yang kita ada. Dan untuk mendapatkan ubat itu, kesabaran dan usaha perlu digandingkan sekali.
Selamat bersyukur dari Tikrit, Iraq.
Yang benar,
Aliya Nasuha
Labels: Carutan dan Karutan , Islam
Di Persimpangan Itu
Credit: gouchongloui |
AKU mencari Tuhan. Bukan aku tidak percaya Tuhan cuma kadangkala aku perlukan sesuatu untuk menyuntik keyakinan aku pada Tuhan. Aku berdoa, siang dan malam tanpa henti. Tapi mengapa doaku masih tergantung di langit? Persoalan sebegini selalu sahaja berlegar-legar dalam benakku. Bukan tidak pernah rakan-rakanku menasihatiku, cuma aku tidak boleh larikan diri dari memikirkannya.
Sewaktu tiba di persimpangan di mana aku berjumpa Mukhtar, aku senyum tiba-tiba. Mungkin itu salah satu rahmat Tuhan. Tuhan mendatangkan Mukhtar kepadaku untuk meleraikan kekusutan yang membadai benakku.
Labels: Cerpen
Sebatang Pohon
Labels: Puisi
Dan Algojo Bertepuk Tangan
“The other Arab revolutions, with a common denominator of the oppressed against the oppressor, the Bahraini one is a sectarian, with Shiites against Sunnis,”
"We stood as Shia and Sunnis with the Palestinian people. No one asked about the religion or sect of the Palestinian, Egyptian, Tunisian or Libyan people. What is happening in Bahrain is not a sectarian movement, and these useless arms will not stop the free rebels. Our brothers and sisters should not be affected by the sectarian rhetoric because many people in the Arab world are standing with you."
*****
Whosoever is an adherent to one of the four Sunni schools (Mathahib) of Islamic jurisprudence (Hanafi, Maliki, Shafi`i and Hanbali), the two Shi’i schools of Islamic jurisprudence (Ja`fari and Zaydi), the Ibadi school of Islamic jurisprudence and the Thahirischool of Islamic jurisprudence, is a Muslim
Sumber: Amman Message
Melupakan Masa Lalu (Bah. Akhir) : Tribute To Class & RoomMates
Labels: Bye , Carutan dan Karutan
Taubat
Labels: Carutan dan Karutan , Islam
Paper Can Kill
Law paper today is indeed killing me. Manage to finish up to the last word, but some of us did not. O Allah the Most Merciful, have mercy on us.
Labels: Carutan dan Karutan
Melupakan Masa Lalu? (Bah 2)
Masa lalu yang indah, juga yang buruk jangan dilupakan. Kerana dari masa lalulah, kita semua hidup di muka bumi. Tanpa masa lalu, kita takkan merasai nikmat berinternet, berFacebook dan sebagainya.
Dari masa lalu, kita dapat mempelajari sesuatu untuk dijadikan ibrah dan pedoman masa depan. Masa lalu yang buruk kadang-kadang menyakitkan lebih-lebih lagi bila ia kembali menghantui jiwa. Tetapi dalam masa lalu itulah, kita dapat temui kekuatan yang hebat, yang mampu mengubah diri seseorang ke arah yang extra baik.
Memetik madah Imam Al-Ghazali:
"Yang jauh itu masa lepas."
Masa lalu tidak mungkin dapat diubah, dan ia akan kekal menjadi masa lalu.
Tidak dapat diubah sekalipun mesin masa tercipta.
“We cannot change our past. We can not change the fact that people act in a certain way. We can not change the inevitable. The only thing we can do is play on the one string we have, and that is our attitude.”
P/s: Bersambung ke bahagian 3
Labels: Carutan dan Karutan
Melupakan Masa Lalu? (Bah 1)
Ada orang pernah berkata bahawa kita harus melupakan masa lepas. Aku juga termasuk. Pada mulanya aku ingin melupakan masa lalu, tapi aku baru sedar yang bukan semua masa lalu harus dilupakan. Ada sesetengah masa lalu merupakan kenangan manis yang tidak dapat terungkap dengan kata-kata, ada juga kenangan lalu yang menyesakkan dada dan fikiran. Baik, kita lupakan kenangan yang buruk, kita sematkan kenangan yang manis di sanubari.
Ni antara masa lepas aku (belon). |
Kartun The Magic School Bus. Antara kartun yang wajib ditonton setiap ahad. Ini juga masa lepas. |
Main kad. Ni antara mainan aku masa sekolah rendah. Ni pun masa lepas,. |
Ni pun masa lepas. Cuma aku tak main benda ni. Budak perempuan je main. |
Helikopter. Ini pun masa lepas. |
Power Rangers Mighty Morphin. Kartun kegemaran aku masa sekolah rendah. Ni masa lepas. |
Pistol 20 sen. Ni masa lepas. |
Tomato-Man. Ingat lagi bila mak panggil "Tomato-man dah start". Ni masa lepas. |
Tora! Aku rasa mesti ramai yang ingat benda ni. Selalu keluar di TV. Tapi yelah, masa lepas. |
Labels: Carutan dan Karutan
Salah Yahudi?
"Gejala berpegang tangan, bercouple, berpasangan semua itu datangnya dari Yahudi"
Petikan daripada isi khutbah Jumaat hari ni. Nama khatib tidak diketahui tapi mungkin orang luar.
----------
Kesian Yahudi. Asal ada salah sikit, Yahudi jugak jadi kambing hitam. Ni aku tengah bela Yahudi, lepas ni mesti ada yang kata aku agen Yahudi (biasalah, masyarakat kita sensitif sikit dengan perkataan Yahudi).
Kalau betul pun budaya-budaya tu dari Yahudi, kenapa mesti menyalahkan Yahudi 100%? Kenapa tak salahkan diri kita yang kurang berpegang kepada ajaran agama? Seolah-olah semua kesalahan yang kita buat (berpegang tangan, berzina etc), semuanya nak diletakkan di bahu Yahudi.
Mungkin nanti bila kita ditanya di depan Allah di akhirat
"Kenapa kamu berpegang tangan padahal kamu belum berkahwin?"
Mungkin jawapan kita ialah "semua salah Yahudi".
Agak-agak Allah boleh terima ke tak jawapan kita? Fikirlah sendiri.
P/s: Post kali ni tidak berkaitan dengan isi khutbah jumaat. Petikan isi khutbah sengaja diletakkan sebagai pembuka kata.
Labels: Carutan dan Karutan , Pandangan
Si Tua di Kaki Lima
Di kaki lima itu,
ia bersandar,
butir peluh memancar di dahi,
lelah penat ditutup senyum,
Di kaki lima itu,
tempatnya menabur bakti,
betah menahan sang suria,
Di kaki lima itu,
rezekinya bertamu,
walau sebutir beras,
syukur dipanjat ke hadratNya,
Labels: Karya Buruk , Puisi
Untuk Apa Salahkan Dunia?
Pernah ada seorang kawan masa muda-muda dulu mengadu pada saya betapa dia stress dek keputusan peperiksaannya tidak sehebat orang lain. Katanya dia stress, sedih, kecewa betapa dia mengharapkan keputusan yang memuaskan setelah berusaha semampunya. Apakan daya, keputusannya hanya cukup-cukup makan. Dia malah menyalahkan dunia ni seolah-olah tidak berlaku adil dengannya. Saya ketika itu masih lagi tidak mampu berfikir hanya bersetuju dengannya. Ya, saya bersama-samanya menyalahkan dunia ni!
Tapi itu cerita beberapa tahun lepas. Sekarang kalau ada mana-mana insan yang mengadu perihal tekanan perasaan kerana gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, malah menyalahkan dunia pula, ini jawapan saya:
Untuk apa menyalahkan dunia? Apakah dunia ini benda hidup yang berhak dipersalahkan atas kesilapan kita sendiri? Ataupun kita hanya menjadikannya sebagai kambing hitam semata hanya kerana kita tidak mampu menerima apa yang kita peroleh? Begitulah kita, apabila kita berjaya, kita katakan ianya dari usaha kita sendiri, pabila kita gagal, kita katakan dunia ini tidak adil. Self serving bias namanya. Nampak tak betapa kita tidak adil dalam menilai.Maaf, aku membebel lagi pagi-pagi buta ni.
Lulus cemerlang = usaha aku
Gagal = dunia tak adil
Tahu tak kenapa Tuhan ciptakan mata di depan? Supaya kita melihat ke depan dan tidak boleh melihat ke belakang (tanpa berpaling). Berhentilah menyalahkan dunia, kerana dunia ini sudah tua dan tidak lama lagi akan mati.
Labels: Pandangan
Frasa 'Baik'
Mari kita berhikayat sejenak. Mari kita fikirkan satu frasa iaitu frasa 'baik'. Apakah definisi 'baik'? Siapakah pula orang 'baik'? Semua ini satu persoalan minda yang wajar dijawab. 'Baik' itu subjektif. Benarkah? Atau aku yang mengelamun sendiri?
Ada insan yang kata definisi 'baik' ialah insan-insan yang bertudung labuh bagi sang puteri dan berkopiah bagi sang putera. Benarkah begitu? Kalau ini definisi yang diguna pakai, nampaknya saya ialah orang yang jahat. Betul kan? Bukan sahaja saya, malah orang-orang yang tidak memakai kopiah juga digelar jahat. Itu kalau mengikut definisi 'baik' yang begini lah.
Ada juga insan yang kata 'baik' itu dinilai daripada sifatnya yang suka berbuat baik dengan orang lain. Sampai tahap ini, aku masih boleh terima. Tapi bolehkah golongan yang punya definisi sendiri itu menerima definisi sebgini? Bolehkah mereka menerima insan yang suka berbuat baik dengan orang lain tetapi tidak berbuat baik dengan Tuhan? Satu lagi persoalan timbul. Bolehkah? Itu persoalannya. Boleh jadi mereka tidak menerima. Boleh jadi mereka terima tetapi dengan syarat mereka akan ke neraka. Atau boleh juga mereka menerima dengan hati yang terbuka.
Kita tinggalkan persoalan itu seketika. Kita ke definisi seterusnya.
Ada insan yang kata 'baik' itu dinilai daripada campuran definisi pertama dan definisi kedua. Persamaannya begini:
Berkopiah/Bertudung labuh + Berbuat baik dengan orang lain = Baik.
Benarkah begitu? Timbul lagi persoalan lain. Berkopiah/bertudung labuh tetapi perangai mengalahkan Hosni Mubarak dan Suzanne Mubarak. Bolehkah digelar 'baik'? Aku tidak punya jawapan untuk itu. Mungkin golongan yang berdefinisi kedua punya jawapan. Boleh jadi mereka terima. Boleh jadi mereka tidak menerima. Boleh jadi mereka terima dengan syarat. Aku makin pening.
Ah sudah. Yang mana betul. Kalau aku pilih definisi pertama, mungkin aku bakal dilabel oleh golongan berdefinisi kedua. Kalau aku pilih definisi kedua, mungkin aku bakal dilabel sebagai ahli neraka oleh golongan berdefinisi pertama. Kalau aku pilih definisi ketiga, mungkin aku boleh dikatakan baik tapi tidak cukup syarat. Ah aku makin pening.
Justeru, definisi yang mana harus aku terima? Pertama? Kedua? Ketiga? Atau tidak ada definisi khusus untuk frasa 'baik'? Mungkin benar ia bersifat subjektif?
Entah aku pun tak tahu.
Labels: Carutan dan Karutan
Cerpen RM 1
Mentari mula memancarkan sinarnya, kedinginan embun pagi mula tidak terasa. Kelihatan kereta keluar masuk dari kawasan perumahan menandakan penghuninya bertebaran di muka bumi untuk mencari rezeki kurnian Illahi. Majid yang sedari tadi menunggu di luar rumah mula merungut "cepatlah sikit Isha, dah lewat ni,"Majid mengomel melihat anaknya Isha masih lagi belum bersiap untuk ke sekolah. Terkocoh-kocoh Isha memakai stokin selepas di tegur ayahnya.
"Dah siap, jom," kata Isha mula melangkah ke perut kereta. Deruman enjin Proton Inspira mula kedengaran. Sayup-sayup deruman enjin itu hilang dalam hembusan sang bayu pagi.
"Tengahari nanti ayah ambik tau. Tunggu di tempat biasa,"kata Majid sejurus tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Terapung yang tersergam indah tu.
"Ok,"jawab anaknya ringkas. Majid memerhatikan anaknya masuk ke kawasan sekolah terlebih dahulu sebelum berlalu ke tempat kerjanya di bandar.
Loceng mula berbunyi menandakan tamatnya waktu persekolahan. Perlahan-lahan pelajar sekolah itu keluar dari kelas menuju ke pagar sekolah. Ibu bapa kelihatannya sedang menunggu. Ada yang menaiki motor, ada yang menaiki kereta. Tidak kelihatan pula yang menaiki helikopter. Mungkin sekolah itu tidak sesuai agaknya untuk menjadi tempat pendaratan helikopter.
Majid menunggu Isha di tempat biasa. Seketika kemudian, anakmya masuk ke perut kereta.
"Assalamualaikum," kata Isha sejurus sebelum pintu ditutup.
"Waalaikumsalam," jawab Majid. kereta dipecut meninggalkan kawasan sekolah. Irama lagu Ana Raffali kedengaran di corong speaker. Kedua-duanya hanya diam membisu tanpa sepatah kata.
"Ayah, tadikan masa di kelas, kitorang belajar Yahudi. Lepas tu, cikgu tunjuk slide simbol-simbol Yahudi. Rupanya kan ayah, di duit RM 1 kita pun ada simbol Yahudi, apa nama organisasi tu, Illuminati. Haa Illuminati," kata Isha memecah kesunyian. Terbeliak mata Majid mendengar kata-kata Isha lantas brek ditekan mengejut. Daya inertia yang terhasil cukup untuk menghumban penumpang ke depan. Nasib baik tak ada kereta lain di depan. Kalau tidak, jenuh pulaklah Majid nak bayar formen.
"Opocot mak kau!" hampir-hampir dirinya terhumban ke depan. Nasib baik ada seat belt.
"Isha pasti ke ni? Jangan main tuduh je Isha! Ayah paling pantang dengar benda-benda macam ni. Bukannya kamu tak tahu, benda-benda macam ni lah yang ayah concern. Kat mana ada simbol tu?" berapi mata Majid mendengar kata-kata anaknya. Kalau nak diikutkan hati, nak dilanyak je binatang Yahudi ni.
"Alah ayah ni. Nanti di rumahlah Isha tunjuk. Kita balik la dulu, Isha lapar ni," kata Isha cuba memujuk ayahnya. Ditenung muka ayahnya yang merah padam itu.
"Ish, yalah. Balik nanti tunjuk kat ayah,"jawab Majid. Kereta mula bergerak laju menuju ke rumah.
"Assalamualaikum," Isha memberi salam sambil mengetuk pintu perlahan.
Dam! Dam! Dam! Majid menumbuk pintu rumahnya. Terasa nak runtuh je pintu rumah teresnya itu. Isha yang berada di samping Majid terkejut dengan tindakan ayahnya.
"Cepatlah bukak pintu ni!" agak tinggi suara Majid.
"Ya, ya. Kejap kejap," jawab isterinya Fida dari dalam rumah. Perlahan-lahan pintu dibuka.
"Awak buat apa dalam tu lama sangat?" tanya Majid dengan muka yang merah padam.
"Eh awak ni, saya tengah buat kerja di dapur lah. Yang awak marah-marah ni kenapa?" ngomel Fida. Pelik dengan kelakuan suaminya. Selalunya tak macam ni. Alih-alih hari ni pulak mood tak berapa nak baik.
"Kejap lagi awak tahulah," jawab Majid ringkas sebelum masuk ke bilik tidurnya. Isha dan Fida diam tak terkata.
"Kenapa ayah kamu tu, Isha?" tanya Fida kehairanan.
"Entah tiba-tiba je ayah jadi incredible hulk bila Isha bagitahu dia pasal Yahudi tadi. Tadi cikgu ada tunjuk slide pasal Yahudi. Lepas tu ada lah slide tunjuk simbol Illuminati di duit kertas RM 1 kita. Tu yang ayah marah sangat tu," jelas Isha ringkas. Ibunya hanya menggeleng-gelengkan kepala.
"Apa nak jadi lah dengan ayah kamu ni. Dulu pun dia pernah buat macam ni, masa heboh ada simbol Yahudi dalam komputer. Punya la semangat dia pergi kumpul orang kampung persi serang kedai komputer tu. Alih-alih malu sendiri. Padan muka pergi serang tak kira hari. Ada ke pergi hari Ahad, mana la kedai nak bukak. Masa tu kamu tak ada kat sini, kamu di kampung," jelas Fida panjang lebar.
"Hah! Ya ke mak? Kenapa mak tak pernah cerita pun kat Isha?" tanya Isha agak terkilan kerana baru hari ni dia mengetahuinya.
"Shhh, mak tak bagitahu kamu sebab ayah kamu larang mak. Katanya malu kalau anak tahu," kata Fida separuh berbisik. Isha hanya tersenyum sinis mendengar kata-kata ibunya.
Seketika kemudian Majid mula memunculkan dirinya di ruang tamu. Dia membuka dompetnya dan mengeluarkan wang kertas RM 1.
"Isha tunjuk kat ayah di mana lambang Illuminati tu. Ayah nak tengok dengan mata kepala ayah sendiri," kata Majid tegas. Perlahan-lahan Isha bangun dan mengambil wang kertas itu dari ayahnya.
"Yang ni satu. Lambang bank negara ni. Yang macam kijang ni. Kita nampak macam kijang, sebenarnya kijang ekor dia pendek. Lebih tepat lagi lambang ni sebenarnya anjing. Kalau tengok slide di kelas tadi, dia kata lambang ni lambang anjing Firaun. Anjing Firaun pulak sinonim dengan Tuhan Anubis dan menjadi identiti Illuminati," jelas Isha sambil menunjukkan lambang bank negara di wang kertas tersebut. "Haa, satu lagi ni, kalau kita tengok di gambar YDP Agung ni menghadap lampu ke, matahari ke, kita akan nampak sebelah mata YDP Agung ni ada di atas segi tiga. All-seing eye la katanya," sambungnya lagi. Majid hanya mengangguk-angguk tidak berkata apa.
"Ok, bagus. Ayah nak pergi balai raya kejap. Nak kumpulkan seberapa ramai orang untuk hantar memorandum pada pihak bank," kata Majid bersiap untuk ke balai raya.
"Awak ni kan, kalau tak terburu-buru boleh tak? Kalut sangat ni apa pasal? Cuba awak fikir balik apa yang awak nak buat ni. Awak tak rasa ke tindakan awak ni agak kebudak-budakan ke? Walaupun saya ni belajar setakat SRP je, saya boleh fikir dengan logik tahu tak. Cuba awak fikir, awak nak buat apa lepas awak hantar memorandum ke pihak bank? Awak ingat mereka nak baca ke memorandum awak tu? Entah-entah belum sampai lagi ke tangan Zeti Aziz tu, memorandum awak dah kena koyak. Lagi satu, kalau betul lah Illuminati apa kebenda tu ada dalam duit kita, awak nak buat apa? Awak nak bakar duit tu? Habis tu awak nak makan apa? Nak makan pasir? Saya tak kisah, awak lah masalahnya. Ke awak nak tambah ibadat dengan puasa seumur hidup semata-mata tak nak guna duit Illuminati awak tu? Fikir logik la sikit. Dunia ni kalau tak ada duit, alamat tak berasap la dapur kita. Lagi pulak.... "
"Diam!" bentak Majid. Isha yang sedari tadi menjadi pemerhati terkejut dengan tindakan ayahnya. Dia mengurut dada perlahan.
"Apa yang aku buat ni, untuk Islam. Aku nak perjuangkan Islam. Israel Yahudi tu musuh Islam. Yang kau nak sokong Yahudi ni kenapa? Kau hidup di dunia ni dengan makanan Yahudi ke?!" tanya majid dengan nada suara yang agak tinggi. Merah menyala matanya.
"Saya bukannya nak sokong Yahudi. Tapi saya berpijak di bumi yang nyata. Nak makan kena ada duit, bukannya guna daun. Nak boikot duit semata-mata sebab ada simbol Yahudi, awak nak makan apa?" tanya Fida dengan nada bersahaja.
"Ah kau diamlah. Perempuan apa tahu. Nanti aku cari alternatif untuk makan. Rezeki Allah bagi bukan Yahudi laknat tu yang bagi. Sudahlah, aku nak pergi balai raya," kata Majid sambil berlalu keluar dari rumah.
Fida dan Isha hanya mampu melihat. Tidak mampu lagi untuk berkata apa.
"Ayah kamu ni Isha, betul-betul menakutkan mak," keluh Fida. Nada suaranya mencerun.
"Tak apa lah mak. Biar la dia uruskan hal dia sendiri. Ok lah mak, Isha nak pergi mandi, nak siapkan kerja sekolah kejap," kata Isha sebelum bangkit menuju ke biliknya. Fida hanya mengangguk.
Kira-kira 90 orang berkumpul di balai raya. Kelihatannya Majid sedang berucap sambil tangannya tidak henti-henti menunjukkan wang kertas RM 1 kepada orang ramai. Yang datang tu pula rata-ratanya anak muda dan hanya sedikit orang tua yang hadir.
"Diharapkan dengan apa yang saya terangkan sebentar tadi dapat memberi kesedaran kepada kita betapa halusnya jarum Yahudi Israel. Kita wajib bangkit dan menentang. Biarlah apa orang nak kata, kita cuba yang terbaik untuk agama kita. Memorandum sudah di print, tinggal nak kena hantar je. Siapa ada cadangan bagaimana kita nak hantar memo ni?" tanya Majid bersemangat.
"Kita hantar guna pos je lah, senang sikit kerja kita. Tak payah nak buang duit pergi KL. Dah la jauh, tambang pun mahal," kata seorang anak muda dalam usia 20-an. Hadirin yang lain kelihatan bingung dan memandang sesama mereka.
"Emm, ok jugak tu. Kalau semua setuju, kita pos je lah. Allah bukannya nak tengok hasil, Allah nak tengok usaha kita," kata Majid. Semua hadirin mengangguk-anggukkan kepala.
"Kalau macam tu, kejap lagi saya pos. Mohon doa semua hadirin lah semoga usaha kita ni berhasil," kata Majid.
"Amiinnn!!" hadirin mendoakan kejayaan Majid.Hadirin mula bersurai bila melihat Majid sedang bersiap untuk ke pejabat pos di pusat bandar.
Posmen mula mengumpulkan surat yang dihantar ke dalam guni. Tanpa disedari surat yang dialamatkan kepada Gabenor Bank Negara tercicir. Posmen yang bertugas berlalu meninggalkan pejabat pos. Surat itu kemudiannya diterbangkan angin lalu dan hilang dari pandangan.
Labels: Cerpen
Keliru
Labels: Pandangan
Terbit
Keranamu Nur Ili
Puas hati Haris kerana dapat melepaskan segala perasaan yang tertahan di dada terhadap Nur Ili. Segala cinta sayang semuanya dah diungkapkan, baru sekarang jiwanya terasa ringan setelah memendam perasaan sejak bulan Ogos tahun lepas lagi. Tarikh 23 Mac 2009 ialah satu tarikh keramat yang mempertemukan Haris dengan cinta hatinya yang bernama Nur Ili.
Sambil memandang ke arah pantai yang terbentang luas, timbul perasaan sayu di hatinya. Luahan perasaan terhadap Nur Ili menandakan dia harus merelakannya pergi untuk suatu masa yang tidak pasti. Sama ada sementara atau selamanya, wallahu 3alam. Cinta yang bertahan selama hampir 2 tahun akhirnya berakhir semalam, 24 Januari 2011. Meskipun kisah cinta mereka berakhir, Nur Ili masih lagi bertakhta di hati Haris tanpa pengetahuan Nur Ili. Malam itu Haris pulang ke rumah dengan penuh penyesalan. Kesal kerana meluahkan perasaannya pada Nur Ili yang akhirnya membuatkan hidupnya merana. Fikiran Haris berserabut memikirkan tindakannya.
"Betul ke tindakan aku?" soalan itulah yang kerap bermain-main di fikirannya.
"Arghh.. Biarlah," kata Haris sambil menyelimuti dirinya dan kembali ke alam tidur.
========
Keesokan paginya usai melahap roti canai 3 bijik dengan teh ais segelas, Haris membuka laptopnya. Satu persatu emel diperiksa, kebanyakannya dari Facebook.
"Hampeh tul," desis hatinya.
Haris membuka satu persatu folder di laptopnya. Dia membuka satu folder yang bertulis 'Nur Ili'. Ada dua tiga dokumen yang bersangkut paut dengan Nur Ili. Lalu dia membuka satu dokumen yang bertajuk "luahan perasaan". Terteralah setiap bait-bait cinta yang ditulis khas untuk Nur Ili yang dicintainya.
Ke hadapan Nur Ili yang tercinta,
Setelah sekian lama saya memendam perasaan, baru semalam saya berhasil meluahkannya di hadapan awak. Awak tahu rasanya menjadi pencinta? Sudah tentu tidak kerana awak hanya merasa dicintai dan bukannya pencinta.
Nur Ili,
Saya setia dengan awak selama hampir 2 tahun. Sepanjang perkenalan saya dengan awak, saya tahu awaklah tempat yang sesuai untuk saya berkongsi suka duka saya. Hanya awak, Nur Ili. Hanya awak bukannya orang lain. Namun saya hampa bila tahu awak curang dengan saya? Kenapa awak lebih pentingkan orang lain? Saya cintakan awak Nur Ili. Cuma saya tak faham kenapa. Kenapa awak berubah menjadi orang lain? Kenapa awak tak jadi diri sendiri?
Nur Ili,
Dalam hidup saya, awak ialah harta yang teristimewa melebihi benda lain. Cuma saya terkilan, awak tinggalkan saya tanpa bermusyawarah dengan saya. Sekarang awak dah pergi, dan saya?
-
-
-
-
-
-
-
-
dan saya merana kerana kehilangan awak. Jiwa saya sakit, hati saya pedih. Namun itulah hakikat yang saya terpaksa terima. Saya berjuang bermati-matian untuk pertahankan awak Nur Ili. Saya tak keseorangan dalam hal ni. Muna, Fatty, Ajam, Cool semuanya bersama saya demi mempertahankan awak. Malangnya kami gagal. Ya kami gagal. Dan kini awak sudah pun pergi sampai bila-bila. >.<
Nur Ili,
Awak tahukah untuk mempertahankan awak bukanlah sesuatu yang mudah? Awak dah ada ramai pengawal peribadi. Ada antara mereka menampar muka saya, ada antara mereka menikam saya. Semuanya lumrah Nur Ili. Lumrah dalam mempertahankan sesuatu yang berharga. Malangnya usaha saya dan kawan-kawan akhirnya berakhir semalam. Saya disenyapkan dengan peluru yang menembusi jantung saya. Saya terjatuh dan tidak mampu lagi untuk bangun. Akhirnya saya sedar yang saya harus merelakan awak pergi.
Nur Ili,
Sepertimana kata pengawal peribadi awak, life must go on. Baik saya terima semua kata-katanya. Saya akui kebenaran kata-katanya. Awak dah tak perlukan saya lagi. Awak dah berjaya dalam hidup awak.
Cuma satu permintaan saya, saya minta janganlah lupakan saya dan kawan-kawan. Semoga awak terus berjaya dalam hidup awak.
Selamat tinggal. >.<
Haris membaca bait-bait tulisannya dengan penuh perasaan. Sesekali dia menyapu air mata yang mengalir di pipi. Masakan tidak, permata yang disayangi itu hilang begitu sahaja.
Haris menarik nafas panjang dan
"tup", key 'delete' ditekan.
"Selamat tinggal Nur Ili," kata Haris sebelum menutup laptopnya.
Labels: Cerpen
Kisah Insan Istimewa
A Muslim Malaysian doctor, trying hard to comprehend the beautiful plans Allah has in offer for him
Itu yang tertulis di bahagian 'about me' di blog beliau. Eh? Muslim Malaysian? Melayukah dia? Aku tertanya-tanya. Sebuah blog yang ditulis dalam bahasa Inggeris benar-benar menarik perhatianku. Lantas aku membaca setiap entri blog itu untuk mengetahui apakah bangsa pemilik blog ini. Aku membaca entri demi entri blog tersebut. Sayu sahaja gaya bahasanya atau aku yang sayu?
Gambar raya bertarikh 21 November 2010 yang terpampang di salah satu entri blog itu menjawab persoalanku. Pemilik blog itu berbangsa Melayu dan beragama Islam. Gambar itu ku tatap hiba. Entah mengapa air mataku menitis saat aku menatap gambar itu. Gambar raya yang biasa, diambil oleh insan biasa tetapi mampu memberikan seribu pengertian yang luar biasa.
Aku membaca setiap entri blog itu. Dan aku mula memahami jalan cerita blog tersebut. Rupanya pemilik blog itulah penulis dan dia jugalah pelakonnya. Aku mula memahami kisah hidup pemilik blog tersebut. Aku selak lagi entri-entri yang lain dan aku dapati adanya semacam kekuatan di dalam setiap nukilannya. Ia bukan nukilan biasa. Ya, aku pasti! Ia bukan nukilan biasa. Ia merupakan sebuah nukilan yang sarat dengan kekuatan seolah-olah si penulis sedang berjuang di medan perang. Kekuatan itu mampu menghidupkan kembali semangat yang mati. Wallahi, apa aku perkatakan ini benar.
Isi kandungan blog itu cukup sayu. Mampu menitiskan air mata sesiapa sahaja yang membacanya. Ya! Inilah blog yang paling menghibakan dan penuh motivasi yang pernah aku baca setakat ini. Tidak seperti blog lain yang hanya tahu menulis kisah cinta cintun langsung tidak bermanfaat. Bersyukurnya aku kerana dipertemukan dengan blog ini. Terima kasih Allah.
Melalui pembacaan aku di blognya, aku medapat tahu si pemilik blog ini menghidap kanser. Aku terkedu seketika, tidak menyangka insan ini sedang berjuang melawan penyakitnya.
Entri terakhir blog ini ialah 8 November 2010. Aku tertunggu-tunggu untuk update seterusnya. Hingga kini, 14 Disember 2010, blog itu masih lagi di takuk yang sama. Sunyi sepi tanpa sebarang entri terbaru. Aku mengharapkan akan adanya update terbaru darinya. Semoga diberi kesihatan yang berpanjangan.
18 Disember 2010, aku mendapat berita dari seorang rakan mengatakan pemilik blog yang seringku baca itu sudah pun kembali ke rahmatullah. Aku begitu terkejut dengan berita tersebut. Lantas aku bergegas ke bilik dan membuka blog tersebut. Mataku mula bergenang bila teringatkan kata-kata rakanku sebentar tadi.
"Ya Allah, janganlah berita ni benar,"doaku perlahan. Aku benar-benar berharap yang berita yang baru ku terima sebentar tadi hanyalah khabar angin semata-mata. Namun, kebenaran itu tetap kebenaran walau bagaimana kita cuba menafikannya. Komen ibu kepada pemilik blog tersebut mengesahkan pemergiannya ke rahmatullah. Aku menangis tersesak-esak setelah membaca komen ibunya:
Assalamualaikum,
Mas Afzal passed away at 2.24am, 18th December, 2010. His papa, brother Andi, sisters Aiysha n Atiqah,uncle Shahrir n me were with him till he breathed his last. He was intubated and n in an induced coma from about 1pm the day earlier because he was having difficulty breathing n his Blood Pressue was getting very low.
Since he was admitted to the Ampang Hospital on December 2nd, he did not get any good night's sleep. Now, he can rest and wait for me n all of us to join him.
I thank Allah for letting me borrow him for the last 26 years. I am also thankful that Allah has given me n my family the opportunity to take care of him while he was in hospital.
Many of his friends visited him in hospital n he could recognise them all, even during the times when he was in a confused n sometimes delirious state because of the infection he suffered n the pure oxygen he was given.
He told me to make sure to wake him up if any of his friends came to visit. "I want to acknowlege their presence", he said. Actually I was surprised he could recognise all his friends who came despite the fact that he sometimes forgot that he was in hospital. At the end of visiting hours, I would ask him about his friends who came and he would describe to me who those friends are, what they were studying, how they met, what activities they have done together n so on. I could see he loved all his friends a lot.
I would always test him to see his state of mind by asking who I am..."Mama", he would always answer. Afzal did not sleep at all the whole night on Thursday and was either reciting versus from the Quran, performing prayers or doing the zikr thoughout the night.I think he was trying to sort things out in his head n said whatever came to mind n since Quran versus were always close to his heart, those versus were among the things he blurted out. I was tired just looking at him but helpless to do anything, other than hold his hand, massage his back n stood by his side n by the graces of Allah, I did not feel sleepy at all thoughout that night. By morning he was exhausted and all my efforts to make him stop n rest failed. The last hour before he was intubated, I kept testing him to see if he is still able to recognise me. Three times I asked him who I was. He would stop his blabbering and say "Mama".
N now, part of me is happy for him because he is no longer suffering but a larger part of me is missing him so much. My baby is no longer with me. I am no longer able to take care of him for he is now under a more capable carer.
I will always have the beautiful memories with Afzal, the moments together that only the two of us share...always.....Mama Afzal.
P/S Thank you all Afzal's friends who visited him in hospital or came to Bentong for his funeral. We decided to bury him in Bentong because that's where he was born n we chose a site right next to my mother, his grandmother to whom he was very close.
Aku terkesima, aku terkelu, aku terkedu dengan berita ini. Wallahi!
Malam itu, air mata menjadi peneman saat Yassin dan tahlil arwah dibacakan.
Kepada kaum kerabat Allahyarham, saya ucapkan takziah atas pemergiannya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Ameen.
Allahyarham bersama ibunya |
Nota: Kepada pembaca, ambillah semangat dan kekuatan beliau dalam setiap nukilannya di blog beliau. Jadikannya sebagai api yang membakar semangat untuk terus berjuang.
Ikuti kisah perjuangannya dalam menghadapi penyakitnya di SINI.
*Watak 'aku' dalam kisah di atas ialah rekaan penulis dan tidak ada kena mengena dengan diri penulis. Penulis sengaja menggunakan kata ganti nama pertama bertujuan untuk memudahkan jalan penceritaan.
* Pemilik blog dalam kisah di atas ialah Allahyarham Mas Afzal Nasaruddin, seorang pelajar (kini bergelar doktor) yang disahkan menghidap penyakit Hodgins Lymphoma (sejenis kanser darah) pada awal Disember 2008 yang juga merupakan tahun akhir pengajiannya dalam bidang perubatan di Universiti of Sheffield, United Kingdom.Beliau menjalani rawatan chemotherapy sebanyak 12 kali, pada kekerapan 2 minggu sekali, untuk tempoh 6 bulan.
* Pada jam 2.24 pagi tanggal 18 Disember 2010, beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi keluarga terdekatnya.
Labels: Cerpen
Kisah Cinta Terlarang
"Aku cintakan dia, kenapa mesti dia berubah? Tak bolehkah dia kekal macam dulu? Kenapa? Kenapa?" pertanyaan itu kerap kali bermain di minda Fatty, seorang gadis yang sangat mencintai si 'dia'. Masakan tidak, hampir 4 tahun Fatty bersama 'dia', menjadi tempat luahan perasaan, tempat berkongsi maklumat, segala-galanya berubah dalam masa satu hari. Ya! Satu hari itulah hari yang benar-benar menyakitkan hatinya.
Menurut seorang teman yang bekerja di samping si 'dia', si 'dia' kini dah berubah. Berubah sepenuhnya. Dahulu pakaiannya cantik, berwarna warni, menjadi tumpuan orang ramai yang ingin bertanya soalan, berkongsi perasaan, sekarang dah bertukar persis kekasihnya yang satu lagi yang juga kini menjadi tumpuan ramai. Jika Fatty yang hanya staff sokongan si 'dia' pun terasa hati dengan perubahannya, apatah lagi mereka-mereka yang bekerja di bawahnya. Meskipun bukan semua pekerjanya terasa dengan perubahannya, sewajarnya ia diambil perhatian.
"Ahh, aku mesti lakukan sesuatu,"desis hati Fatty. Kelihatannya dia tidak ingin si 'dia' terus berubah. Dia mahukan si 'dia' yang dahulu. Namun apakah yang mampu dilakukan olehnya, dia hanya seorang staff sokongan. Hanya beberapa senior staff sahaja yang sependapat dengannya. Staff baru nampaknya sukakan perubahan si 'dia'. Mana taknya, berubahnya si 'dia' menyebabkan reputasi meningkat naik. Di televisyen, di akhbar, pasti ada sahaja terpampang wajah si 'dia'. Malah, ada berita yang mengatakan si 'dia' ingin menamakan sebuah masjid di ibu kota sempena namanya. Katanya ingin bersaing dengan negara jiran.
Tindakan sebegitu sudah tentu menggusarkan hati bagi sesetengah staff seperti Fatty dan pekerja si 'dia' kerana ianya dianggap seperti mengejar reputasi daripada menjadi tempat perkongsian ilmu. 'Dia' bukan lagi si 'dia' yang dahulu. Si 'dia' yang dahulu sudah pun mati. Apakan daya, keluhan dan luahan Fattyi dan senior lainnya hanya seperti anjing menyalak bukit.
"Haih,"keluh Fatty.
"Semua benda dah aku buat. Mula-mula nak protes, tak jadi. Lepas tu ada sorang member ajak buat group di FB, pun tak jadi takut-takut tak dapat sambutan. Yelah, yang sokong pun bukannya ramai sangat. Minoriti je," luah Fatty terhadap Kak Lelah, seorang senior yang bekerja di bawah 'dia'.
"Kita dah tak boleh buat apa-apa dah Fatty. Semua dah berlalu. 'Dia' yang lama dah tak ada, dah tak wujud. Kita kena terima hakikat tu Fatty. Pandanglah ke depan, hatta setapak pun. Bak kata kawan akak, kita hanya sokong bila kita suka sesuatu lepas tu kita nak lari bila kita dah tak suka. Wajar ke begitu? Tentu tak kan. Sama juga dengan keadaan sekarang. Ok Fatty? Dah jangan sedih-sedih," pujuk Kak Lelah seraya memeluk Fatty yang dilihat hampir menitiskan air mata.
"Emm, nampaknya begitulah kak. Saya terpaksa relakan meski hati ini memberontak,."kata Fatty sayu.
-
-
-
-
Dari kejauhan si 'dia' pergi, Fatty, Kak Lelah dan senior lainnya hanya mampu melihat. Tidak mampu lagi berbuat apa-apa, hanya doa sahaja bisa dititipkan semoga si 'dia' tidak lemas dalam dakapan reputasi.
Labels: Cerpen